
GENAP EMPAT TAHUN KERAJAAN MADANI
HARI ini genaplah empat tahun Kerajaan MADANI memegang terajui pemerintahan negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang menyaksikan bagaimana kestabilan politik menjadi faktor terpenting.
Politik yang stabil membolehkan ekonomi berkembang dan apabila ekonomi berkembang ia membolehkan kerajaan membantu rakyat, dan tatakelola yang baik memastikan bantuan itu benar-benar sampai kepada rakyat bukannya tercicir di pertengahan jalan.
Sejak 24 November 2022, tumpuan terbesar kerajaan bukan sekadar menstabilkan ekonomi, tetapi meningkatkan kesejahteraan rakyat terutama dalam mengurangkan kos sara hidup.
Kerajaan sedar pertumbuhan ekonomi yang tidak diterjemah kepada kelegaan di dapur rakyat adalah pertumbuhan yang tidak bermakna, sebab itu bantuan kepada rakyat dijadikan sistem sokongan bulanan yang berjadual dan bersasar, bukan lagi bantuan sekali-sekala menjelang pilihan raya.
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menjadi tulang belakang kepada pendekatan itu, apabila pada 2026 kerajaan memperuntukkan RM15 bilion untuk STR dan SARA bagi memanfaatkan kira-kira 9 juta penerima, dengan SARA Bulanan sahaja melibatkan 8.1 juta penerima dan peruntukan RM8 bilion, berbanding 5.4 juta penerima dan RM5 bilion pada 2025.
Kredit antara RM50 hingga RM200 sebulan dimasukkan terus ke MyKad untuk membeli barangan keperluan asas, malah melalui SARA Untuk Semua, semua rakyat berumur 18 tahun ke atas turut menerima RM100, dengan kadar penggunaan mencecah 96 peratus dan melibatkan 21.2 juta penerima pada 2025, manakala lebih 95 peratus kredit SARA sudah dibelanjakan setakat pertengahan November 2026.
Kalau SARA membantu dari segi kuasa beli, Jualan Rahmah MADANI pula membantu dari segi harga barangan itu sendiri, apabila pada awal 2026 ia diadakan tiga kali sebulan di setiap DUN.
Ia melibatkan lebih 23,000 penganjuran, sebelum diperluas kepada sasaran 30,000 penganjuran sepanjang 2026 sekurang-kurangnya sekali seminggu di setiap DUN dengan tumpuan kepada kawasan desa, PPR dan perumahan kos rendah.
Langkah itu membolehkan rakyat membeli barangan keperluan asas pada harga 5 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran, disokong 5,000 Jualan Agro MADANI dan Menu RAHMAH tidak lebih RM5 di lebih 3,210 premis, dengan hampir 69 juta transaksi direkodkan sejak 2024 dan lebih 28.4 juta transaksi pada 2026 sahaja.
Pendekatan kesejahteraan ini disokong pula oleh usaha menaikkan pendapatan rakyat, iaitu gaji minimum RM1,700 yang akan naik kepada RM2,000 mulai Jun 2027, kadar kemiskinan mutlak yang turun dari 6.2 peratus pada 2022 kepada 5.1 peratus pada 2024.
Begitu juga dengan bantuan Awal Persekolahan RM150 kepada lebih 5.2 juta murid, dan BUDI95 yang mengekalkan RON95 pada RM1.99 seliter, manakala untuk 2027 peruntukan STR dan SARA dinaikkan lagi kepada RM16 bilion dengan kadar SARA sehingga RM150 sebulan dan penerima eKasih sehingga RM250 sebulan, serta peruntukan RM750 juta untuk Jualan Rahmah MADANI yang disasarkan kepada 35,000 penganjuran.
Semua bantuan ini hanya mampu dilaksanakan kerana negara kembali stabil, kerana Malaysia pernah melalui tempoh paling tidak stabil selepas PRU14 apabila dalam tempoh kurang lima tahun negara bertukar tiga orang Perdana Menteri.
Setiap kali kerajaan bertukar, dasar berubah, pelabur menunggu dan melihat, peluang pekerjaan tertangguh dan rakyat akhirnya menanggung kesan, sedangkan Kerajaan Perpaduan yang genap empat tahun hari ini disifatkan sebagai pentadbiran paling stabil selepas PRU14, memberi ruang untuk merancang, melaksana dan menyiapkan sesuatu, bukan sekadar mengumumkan.
Apabila politik stabil, pelabur kembali yakin, kerana pelabur tidak melabur di negara yang kerajaan asyik bertukar tetapi di negara yang dasarnya jelas dan hala tujunya konsisten.
Buktinya Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM1.49 trilion sejak 2023 sehingga September 2026, termasuk RM431.1 bilion pada 2025 yang merupakan rekod tertinggi, dan RM350.4 bilion bagi Januari hingga September 2026 sahaja yang meningkat 20.7 peratus dan bakal menjana 152,090 peluang pekerjaan baharu, manakala pelaburan langsung asing melonjak 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion pada 2025.
Apabila pelabur yakin dan masuk, ekonomi pun bergerak, dengan KDNK berkembang 5.1 peratus pada 2024, 5.2 peratus pada 2025 dan dijangka melebihi 5 peratus lagi pada 2026, iaitu tiga tahun berturut-turut melebihi 5 peratus.
Inilah bahagian yang paling penting dan sering dilupakan, iaitu kerajaan hanya mampu membantu rakyat apabila ekonomi negara kukuh, kerana bila hasil negara meningkat, ketirisan subsidi dikurangkan dan defisit fiskal berjaya diturunkan dari 5.5 peratus pada 2022 kepada 3.7 peratus pada 2025, barulah kerajaan ada ruang fiskal untuk menambah bantuan, seperti yang dijelaskan Menteri Kewangan II bahawa apabila kerajaan menaikkan siling ekonomi negara, peluang dan pekerjaan bertambah, dan apabila siling naik, kerajaan dapat menaikkan lantai ekonomi pula supaya manfaat pertumbuhan dapat dirasai rakyat secara lebih meluas.
Namun semua ini akan sia-sia tanpa tunjang yang memegangnya, iaitu ketegasan memerangi rasuah, salah guna kuasa dan mewujudkan tatakelola yang baik, kerana tanpa tatakelola yang baik, bantuan sebesar mana pun akan tiris di tengah jalan dan ekonomi yang kukuh pun akan dirompak dari dalam.
Ketika Kerajaan MADANI mengambil alih, negara mewarisi hutang melebihi RM1.2 trilion dengan amalan rasuah dan penyelewengan yang sudah sistemik, dan Perdana Menteri sejak awal menegaskan bahawa pengurusan dan tatakelola serta tolak rasuah dan penyelewengan adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi walaupun tidak disenangi banyak pihak.
Ketegasan itu diterjemahkan kepada tindakan tanpa mengira pangkat dan kedudukan, apabila SPRM diberi ruang sepenuhnya untuk bertindak secara profesional, dengan tangkapan melonjak kepada 1,137 tangkapan pada 2023 berbanding 909 pada 2022 manakala dari 2024 hingga awal 2026 merekodkan 1,095 pertuduhan dengan 563 sabitan hasil 2,633 kertas siasatan.
Ketegasan itu bukan sahaja menghasilkan tangkapan, tetapi juga menghasilkan wang yang kembali kepada rakyat, apabila dalam tempoh 2023 hingga 2025 sebanyak RM15.5 bilion wang dan aset berjaya diperoleh semula oleh SPRM dalam kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
Ia hasil kerjasama Pasukan Petugas Agensi Penguatkuasa Malaysia, berbanding hanya RM37 juta pada 2018 dan RM1.2 bilion pada 2019, iaitu wang yang sepatutnya digunakan untuk sekolah, hospital, jalan dan bantuan rakyat, dan untuk 2027 kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion kepada SPRM bagi memperhebat keupayaan operasinya.
Kesimpulannya, dalam tempoh empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI ia membuktikan kestabilan politik, memerangi rasuh dan salahguna kuasa memainkan peranan penting bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha memakmurkan negara dan membela nasib rakyat.





