SERAMAI 114 pelajar sekolah berusia bawah 17 tahun ditahan kerana disyaki memandu secara melulu dan berbahaya di ibu negara dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, jumlah tangkapan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu meningkat berbanding 69 orang sepanjang tahun lalu dan 52 orang pada 2024.
Menurutnya, peningkatan berkenaan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak, khususnya ibu bapa, kerana isu itu bukan hanya berkaitan penguatkuasaan, malah turut melibatkan pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya.
“Peningkatan ini merupakan satu isyarat yang perlu diberikan perhatian serius. Ia bukan sekadar isu penguatkuasaan, tetapi turut melibatkan aspek pendidikan, kesedaran, pengawasan ibu bapa dan tanggungjawab bersama masyarakat.
“Saya mahu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur terus mempergiatkan program advokasi keselamatan jalan raya dengan kerjasama pihak sekolah, Jabatan Pendidikan, agensi berkaitan dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua JSPT Kuala Lumpur di Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S. Lee, hari ini.
Fadil berkata, pendekatan pencegahan perlu diutamakan bagi memastikan golongan muda memahami tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya.
“Pendekatan pencegahan perlu diberikan keutamaan agar golongan muda memahami bahawa jalan raya bukan tempat untuk menguji keberanian atau menunjukkan kehebatan, sebaliknya merupakan ruang awam yang menuntut disiplin, kematangan dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau menegaskan, peranan JSPT bukan sekadar mengawal aliran trafik dan mengambil tindakan terhadap pesalah jalan raya, tetapi turut bertanggungjawab melindungi nyawa serta menjamin keselamatan pengguna.
Sementara itu, sebanyak 563,953 tindakan penguatkuasaan trafik direkodkan menerusi lima operasi utama di ibu negara bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding 444,594 tindakan pada tahun lalu.
Dalam tempoh sama, sebanyak 67,262 kes kemalangan jalan raya direkodkan dengan 197 daripadanya merupakan kemalangan maut.




