USAHA Kerajaan MADANI dalam menjaga kesejahteraan rakyat sepanjang empat tahun pentadbirannya disifatkan sebagai agak baik, khususnya dari segi peluasan bantuan bersasar, perlindungan sosial dan usaha meningkatkan pendapatan rakyat.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, antara pencapaian paling ketara ialah peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion pada 2026, berbanding RM8 bilion bagi Bantuan Keluarga Malaysia pada 2022.
“Peruntukan ini dirancang meningkat lagi kepada RM16 bilion pada 2027. Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan juga merupakan langkah penting dalam meningkatkan pendapatan golongan pekerja,” katanya kepada utusanmelayuplus bersempena ulang tahun keempat Kerajaan MADANI hari ini.

Menurut Mashitah, dari sudut ekonomi, kadar kemiskinan mutlak turut menurun daripada 6.2 peratus pada 2022 kepada 5.1 peratus pada 2024, manakala inflasi telah menjadi lebih terkawal.
“Perkembangan ini menunjukkan terdapat kemajuan dalam usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan rakyat, walaupun tidak semuanya boleh dikaitkan secara langsung dengan dasar kerajaan semata-mata,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan masih berdepan cabaran besar untuk memastikan peningkatan bantuan dan pendapatan benar-benar diterjemahkan kepada kuasa beli rakyat yang lebih tinggi.
“Isu harga makanan, kos perumahan, perbelanjaan isi rumah dan kesan penyasaran semula subsidi masih memerlukan perhatian,” katanya.
Pada pandangan beliau, kejayaan kerajaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah bantuan yang disalurkan semata-mata, tetapi juga sejauh mana rakyat mampu menikmati kehidupan lebih selesa tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Justeru, tumpuan seterusnya perlu diberikan kepada peningkatan pendapatan boleh guna, penciptaan pekerjaan berkualiti dan pengukuhan ekonomi rakyat secara berterusan,” katanya.
Mengulas soal kestabilan politik, Mashitah berkata ia merupakan antara prasyarat terpenting bagi memastikan agenda kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara konsisten.
“Selepas empat tahun, Kerajaan MADANI mempunyai kelebihan dari segi kesinambungan pentadbiran berbanding tempoh ketidakstabilan politik yang menyaksikan beberapa pertukaran kerajaan sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, kestabilan tersebut membolehkan kerajaan merancang dasar jangka panjang, melaksanakan reformasi ekonomi, menyediakan belanjawan secara lebih tersusun dan meningkatkan keyakinan pelabur.
“Semua ini penting kerana kesejahteraan rakyat tidak boleh bergantung kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya memerlukan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan yang berterusan,” katanya.
Bagaimanapun, Mashitah berkata kestabilan politik itu kini berdepan sedikit gangguan, khususnya apabila Barisan Nasional (BN), yang merupakan rakan utama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, mula menjalin kerjasama pilihan raya dengan Perikatan Nasional (PN) untuk menentang PH di peringkat negeri.
Perkembangan itu dapat dilihat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, PRN Negeri Sembilan dan terbaharu PRN Melaka pada 14 November 2026 apabila kerjasama BN-PN berjaya menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan PH hanya memperoleh empat kerusi.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang hala tuju sebenar kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan. Bagaimanakah BN dan PH dapat mengekalkan kesepaduan politik serta mempertahankan dasar-dasar kerajaan secara bersama di peringkat Persekutuan apabila kedua-duanya semakin menjadi pesaing di peringkat negeri?” soalnya.
Menurut Mashitah, walaupun persaingan di peringkat negeri tidak semestinya menggugat majoriti kerajaan di Parlimen, percanggahan politik sedemikian boleh menjejaskan persepsi rakyat terhadap keutuhan, keikhlasan dan kesepaduan Kerajaan Perpaduan.
“Pada pandangan saya, cabaran utama sekarang bukan sekadar mengekalkan jumlah sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi, tetapi memastikan semua parti komponen benar-benar mempunyai komitmen yang jelas terhadap dasar dan hala tuju kerajaan,” katanya.
Beliau menegaskan, kestabilan politik yang sebenar bukan sekadar bermaksud kerajaan tidak tumbang, tetapi juga wujudnya kesepakatan dasar, kepercayaan antara rakan gabungan dan keupayaan melaksanakan janji kepada rakyat.
“Sekiranya percanggahan politik ini berterusan tanpa penyelesaian, ia boleh menjejaskan keberkesanan pentadbiran, sekali gus mengganggu usaha kerajaan meneruskan agenda kesejahteraan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya.





