POLIS memohon bantuan orang ramai bagi mengesan empat remaja perempuan berusia 14 hingga 17 tahun yang dilaporkan hilang dalam kejadian berasingan di sekitar daerah Kota Kinabalu sejak bulan lalu.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seorang daripada remaja terbabit dilaporkan hilang sejak 22 Oktober lalu, manakala tiga lagi sejak awal bulan ini.
Remaja berkenaan ialah Lorna, 17, dari Kampung Numbak, One Borneo, Manggatal, yang dilaporkan hilang sejak 22 Oktober lalu.
Turut dilaporkan hilang ialah Olivia, 16, dari Taman Richdar, Manggatal, sejak 7 November lalu dan Nadyana, 16, dari Kampung Warisan Kalansanan, Inanam, sejak 8 November lalu.
Seorang lagi remaja, Farha Nabila, 14, dari Kampung Sinulihan, Inanam, dilaporkan hilang sejak 9 November lalu.
Menurut kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mereka diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga dipohon berkongsi hebahan ini bagi membantu usaha mengesan kesemua individu berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Polis turut menghargai kerjasama dan keprihatinan masyarakat dalam membantu usaha mengesan keempat-empat remaja terbabit.





