Dua kanak-kanak maut motosikal dirempuh lori di Sebuyau

DUA kanak-kanak maut manakala seorang wanita parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Batang Lupar-Sadong, berhampiran Masjid Kampung Sungai Ladong di Sebuyau, Simunjan pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan di bawah lori selepas digilis, manakala seorang kanak-kanak perempuan tercampak ke atas jalan.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala wanita yang menunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang paha.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.35 pagi.

Katanya, tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan digerakkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

“Pasukan diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Christopher Anak Tungoh tiba di lokasi pada jam 12.06 tengah hari, kira-kira 26 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi melakukan pemantauan dan mendapati kemalangan membabitkan tiga mangsa yang juga penunggang serta pembonceng motosikal selepas dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori.

“Terdapat seorang kanak-kanak lelaki berada di bawah lori akibat digilis, manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan terjatuh di atas jalan. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, wanita yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan penyelamat sebelum semua mangsa dibawa ke Hospital Simunjan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi menyelamat berjaya dikawal pada jam 12.17 tengah hari sebelum anggota bomba melakukan kerja pembersihan sisa kemalangan di atas jalan bagi memastikan laluan selamat digunakan.

Operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.18 petang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here