Pengurus syarikat rugi RM262,200 terperdaya skim pelaburan tidak wujud

SEORANG pengurus syarikat kerugian RM262,200 selepas terperdaya dengan tawaran skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 500 peratus dalam tempoh singkat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Victor Genason berkata, mangsa berusia 52 tahun tertarik dengan tawaran pulangan lumayan yang dikemukakan menerusi skim berkenaan.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat tujuh transaksi pembayaran ke dalam dua akaun bank berbeza antara 5 Oktober hingga 6 November lalu.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian diarahkan membuat bayaran tambahan bagi menuntut keuntungan pelaburan yang kononnya diperoleh.

“Mangsa mula berasa tertipu apabila tidak pernah menerima sebarang keuntungan sepanjang tempoh pelaburan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Victor, wang yang digunakan mangsa untuk menyertai skim pelaburan itu adalah daripada simpanan peribadinya.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam hari ini selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat, sebaliknya membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyerahkan wang kepada mana-mana pihak.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here