Sindiket dadah guna aset tentera: Reman empat pegawai TUDM disambung empat hari

TEMPOH reman empat pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang disiasat berhubung kegiatan sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan tentera disambung empat hari lagi bermula esok hingga 28 November ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tempoh reman pertama selama tujuh hari terhadap kesemua pegawai terbabit yang bermula 18 November lalu berakhir hari ini.

Katanya, seorang lagi pegawai tentera yang ditahan di Labuan dan menjalani reman selama lapan hari juga akan berdepan permohonan sambungan reman apabila tempoh berkenaan tamat esok.

Selain itu, polis akan memohon sambungan reman terhadap dua orang awam yang ditahan di Labuan serta dua pegawai TUDM yang ditahan di Tawau, Sabah, selepas tempoh reman tujuh hari mereka berakhir Jumaat ini.

“Pada masa sama, empat orang awam yang ditahan di Cheras telah ditangkap semula bagi membantu siasatan kes melibatkan TUDM itu dan direman tujuh hari bermula hari ini hingga 30 November,” katanya, lapor Bernama.

Pada Jumaat lalu, Hussein dilaporkan memaklumkan, polis berjaya membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan tentera menerusi beberapa siri operasi di Lembah Klang dan Labuan.

Operasi berkenaan membawa kepada rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta, selain 6.98 kilogram cecair bahan kimia.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan penahanan itu dibuat susulan penemuan dadah yang disembunyikan dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang.

Bahan terlarang itu dikesan ketika pemeriksaan rutin terhadap barangan sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM.

Kejayaan mengesan dadah menerusi prosedur pemeriksaan berkenaan disifatkan sebagai kes pertama seumpamanya berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here