TIGA lelaki ditahan polis selepas dipercayai menyerang seorang warga emas dengan menumbuk, menggunakan siku dan menendang mangsa susulan kemalangan jalan raya di Lorong Ikhwan, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 39 hingga 44 tahun.
Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada kemalangan membabitkan dua kenderaan kira-kira jam 5 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati sebuah kereta Perodua Alza dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Skoda yang dipandu seorang wanita.
“Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 62 tahun yang juga suami dan penumpang kereta berkenaan keluar untuk melihat keadaan kereta, namun diserang individu yang berada dalam kereta Perodua Alza terbabit.
“Individu itu dipercayai bertindak agresif dengan menyerang mangsa menggunakan tumbukan, siku dan tendangan sehingga menyebabkan mangsa cedera di muka, hidung dan mulut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azli, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Terengganu membawa kepada penahanan ketiga-tiga suspek.
“Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga boleh didenda,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan satu video kejadian itu tular dalam Facebook, memaparkan seorang warga emas dipukul oleh penumpang Perodua Alza sehingga mengundang kecaman pengguna media sosial.
Sementara itu, mangsa yang merupakan bekas pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) mendakwa mengalami kecederaan patah tulang hidung dan mengalami keretakan pada kedua-dua rahang dalam kejadian itu.
Roslan Ngah, 63, mendakwa, kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika dia turun dari kenderaan untuk melihat kerosakan dialami selepas dilanggar pemandu Perodua Alza, jam 5 petang.
Sebelum kejadian, Roslan berkata, dia dan isteri, Sharifah Anis Syed Mohamad, 37, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir.
“Kereta dipandu isteri dilanggar daripada belakang ketika cuba membelok ke kiri jalan selepas memberi isyarat.
“Saya turun daripada kereta untuk memeriksa kerosakan, dan cuba bertanya kepada seorang daripada lelaki berkenaan punca kereta kami dilanggar.
“Tetapi secara tiba-tiba tiga lelaki termasuk pemandu MPV terbabit memaki hamun, sebelum menyiku muka serta memukul saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini, lapor Harian Metro.
Katanya, tiga lelaki kemudian menaiki kenderaan dan melarikan diri selepas mendapati penduduk kampung mengerumuni lokasi kemalangan.
“Saya tidak mempunyai musuh dan bergaduh dengan sesiapa sebelum kejadian berlaku.
“Isteri sudah membuat laporan mengenai kejadian itu, dan kita serahkan kepada polis untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan lanjut,” katanya.
Roslan yang bekerja di syarikat insurans mengakui tidak mengenali pemandu dan dua penumpang Perodua Alza berkenaan.





