DUA lelaki bersenjatakan parang melarikan tiga dulang emas dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Batu 6, Kuala Terengganu pagi tadi.
Kejadian berlaku dalam tempoh kurang seminit ketika empat pekerja berada di dalam premis berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.46 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati salah seorang suspek dipercayai berbangsa Melayu memegang sebilah parang ketika meluru masuk ke dalam kedai berkenaan.
“Suspek berjaya melarikan tiga dulang emas, namun anggaran jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan,” katanya.
Beliau berkata, tiada pekerja yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu, manakala kedua-dua suspek dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kereta.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 50 saat milik kedai emas berkenaan tular dalam media sosial, memaparkan dua lelaki memasuki premis sebelum melarikan barangan kemas.
Wan Mohd Zaki berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sedang giat mengesan kedua-dua suspek.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkannya kepada IPD Kuala Terengganu bagi membantu siasatan,” katanya.





