SEBANYAK 10,207 daripada 10,259 sekolah di seluruh negara kini mempunyai liputan rangkaian 4G, bersamaan 99.5 peratus, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, kerajaan komited memastikan sekolah khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat capaian Internet yang stabil serta berkualiti bagi menyokong agenda pendidikan digital negara.
Katanya, pembangunan infrastruktur digital bukan sekadar dinilai berdasarkan keluasan liputan, sebaliknya turut mengambil kira kualiti perkhidmatan yang dinikmati pengguna termasuk warga sekolah.
Menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau serta memperkukuh infrastruktur komunikasi bagi memastikan baki sekolah yang belum mendapat liputan turut diberi perhatian.
Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi beberapa inisiatif utama termasuk pembangunan infrastruktur digital melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 dan projek Point of Presence (PoP).
“Projek JENDELA 2 (Kumpulan 1) sedang dilaksanakan secara berperingkat mulai November 2026, membabitkan pembangunan 1,000 tapak di seluruh negara termasuk 12 tapak di Johor,” katanya.
Fahmi berkata, pelaksanaan projek berkenaan tidak hanya tertumpu kepada penyediaan capaian Internet di sekolah, sebaliknya mengutamakan kawasan berpenduduk khususnya di luar bandar dan pedalaman yang masih belum mendapat liputan komunikasi.
Katanya, pemilihan teknologi bersesuaian mengambil kira beberapa faktor termasuk kepadatan penduduk, bentuk muka bumi dan ketersediaan infrastruktur sedia ada.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan Projek PoP dengan kos keseluruhan RM4.6 bilion bagi menyediakan infrastruktur gentian optik berhampiran sekolah.
“Infrastruktur ini bukan sahaja menyokong keperluan sekolah, malah turut memberi manfaat kepada premis kerajaan, kediaman dan komuniti setempat dalam lingkungan radius 2.5 hingga tiga kilometer dengan tawaran kelajuan sehingga 1Gbps,” katanya.
Menurutnya, sehingga November 2026, kesemua 677 lokasi PoP Fasa 1 sudah siap sepenuhnya termasuk 630 lokasi berhampiran sekolah.
Bagi PoP Fasa 2 pula, sebanyak 2,985 daripada 3,013 lokasi berhampiran sekolah atau 99.07 peratus sudah disiapkan, manakala baki lokasi dijangka selesai sepenuhnya pada 31 Disember ini.
Menjawab soalan tambahan, Fahmi menjelaskan, bagi Projek PoP, pengguna boleh menikmati perkhidmatan Internet berkelajuan 100Mbps dengan harga langganan serendah RM49 sebulan.
Mengulas pembahagian tanggungjawab antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Fahmi berkata, kementeriannya bertanggungjawab menyediakan infrastruktur komunikasi berkelajuan tinggi, manakala urusan perolehan dan langganan Internet di sekolah dikendalikan sepenuhnya oleh KPM.
Katanya, proses pemilihan penyedia perkhidmatan Internet dilaksanakan menerusi tender terbuka berdasarkan prinsip neutral teknologi dan tidak terhad kepada penggunaan infrastruktur PoP atau gentian optik sahaja.
“Pemilihan pemberi perkhidmatan mengambil kira keperluan setempat, spesifikasi teknikal, kelajuan, tahap perkhidmatan serta tawaran harga terbaik bagi setiap sekolah,” katanya.





