KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti keperluan menyenaraikan bahan psikoaktif baharu (NPS), termasuk yang dikaitkan dengan Piu-Piu, dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu antara usaha kerajaan memperkukuh kerangka perundangan sedia ada bagi menangani kemunculan bahan psikoaktif baharu yang semakin kompleks.
Menurutnya, cabaran utama penguatkuasaan adalah perubahan formulasi kimia bahan sintetik yang boleh menyukarkan proses pengesanan awal, analisis forensik dan penentuan status perundangan.
“Dari aspek penawaran, kemunculan bahan sintetik dengan formulasi kimia berubah-ubah termasuk NPS meningkatkan cabaran penguatkuasaan.
“Kepelbagaian bahan dan perubahan struktur kimia boleh menyukarkan proses pengesanan awal, analisis forensik serta penentuan status perundangan bahan berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) yang meminta penjelasan mengenai faktor utama penyalahgunaan dadah sintetik baharu seperti Piu-Piu semakin berleluasa di Malaysia, termasuk kemudahan mendapatkan bahan, kaedah pengedaran melalui platform dalam talian serta kesukaran pihak berkuasa mengesan pengedar.
Saifuddin menjelaskan, Piu-Piu bukan sejenis dadah khusus, sebaliknya nama jalanan yang digunakan untuk merujuk kepada bahan, produk atau campuran tertentu yang mungkin mengandungi dadah atau NPS.
“Ini mencerminkan landskap ancaman dadah semakin kompleks apabila sindiket sentiasa menyesuaikan jenis bahan, kaedah pemasaran dan saluran pengedaran bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan penyalahgunaan bahan itu ialah kemudahan mendapatkan bekalan, kepelbagaian NPS, permintaan dalam kalangan pengguna serta penggunaan teknologi digital sebagai medium pengedaran.
Menurutnya, kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati keinginan mencuba menjadi faktor utama pembabitan belia dalam penyalahgunaan dadah atau bahan, iaitu sebanyak 30.1 peratus.
Selain itu, tekanan mencatatkan 20.9 peratus, manakala pengaruh rakan sebanyak 18.9 peratus.
“kajian sama mendapati bahan berkenaan diperoleh melalui pembelian sendiri sebanyak 53.4 peratus dan daripada rakan sebanyak 43 peratus,” katanya.
Mengulas kaedah pengedaran, Saifuddin berkata penggunaan teknologi digital, media sosial dan aplikasi komunikasi membolehkan sindiket memperluas pasaran serta menjalankan urusan secara lebih terselindung.





