KERAJAAN MADANI meneruskan inisiatif Dana Inovasi Media menerusi pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 dengan peruntukan RM30 juta bagi memperkasa industri media negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dana berkenaan mengekalkan empat skop pembiayaan sedia ada dengan penambahan satu skop baharu, menjadikan keseluruhannya lima skop.

Beliau berkata, permohonan dana itu boleh dibuat mulai hari ini, manakala maklumat lanjut termasuk tempoh permohonan dan tarikh tutup boleh diperoleh menerusi laman web danainovasimedia.komunikasi.gov.my.
“Berita gembira untuk rakan media. Hari ini saya umumkan Kerajaan MADANI akan meneruskan inisiatif Dana Inovasi Media melalui pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0.
“Jumlah yang kita sediakan bagi Dana Inovasi Media 2.0 adalah sebanyak RM30 juta,” katanya dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Fahmi berkata, pada pelaksanaan terdahulu, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi membantu syarikat media melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk transformasi, latihan dan pengukuhan operasi, selain meneroka pendekatan baharu dalam penghasilan serta penyampaian kandungan.
Menerusi dana berkenaan, sebanyak 72 syarikat media menerima pembiayaan bagi menyokong usaha memperkukuh operasi dan menyesuaikan organisasi masing-masing dengan perubahan landskap industri media.
Fahmi berkata, kesinambungan inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan industri media terus diperkasa, khususnya dalam aspek inovasi, pendigitalan, pembangunan bakat serta penerapan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hawana (Hari Wartawan Nasional) pada Jun 2026 memperlihatkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan industri media di negara ini kekal berdaya tahan dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata, maklumat lanjut serta borang permohonan Dana Inovasi Media 2.0 boleh dimuat turun menerusi laman web berkenaan dan permohonan dibuka mulai hari ini.





