YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM50,000 kepada 50 pengamal media yang memerlukan menerusi inisiatif kebajikan sempena Majlis Apresiasi dan Amal YAPEIM Bersama Media 2026, malam tadi.
Menerusi sumbangan itu, setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM1,000 bagi membantu meringankan beban kewangan serta menampung keperluan masing-masing.

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama lima persatuan dan kelab media iaitu Kelab Media Putrajaya (KMP), Kelab Media KL dan Selangor (KLS), Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) serta Koperasi Media Prima Berhad (KopMedia).
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim berkata, kerjasama erat dengan organisasi media penting bagi memperluas penyampaian maklumat serta meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan dan usaha yayasan itu.

“YAPEIM amat menghargai sokongan dan komitmen pengamal media yang selama ini membantu menyampaikan maklumat berkaitan YAPEIM kepada masyarakat secara seimbang dan adil.
“Kerjasama ini membolehkan masyarakat lebih mengenali YAPEIM, khususnya usaha berterusan kami dalam membantu golongan yang memerlukan, sekali gus memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap institusi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan.
Menurut YAPEIM, bantuan berkenaan turut dilaksanakan bagi menghargai sumbangan pengamal serta organisasi media dalam menyampaikan maklumat berkaitan yayasan itu kepada masyarakat.
Secara keseluruhan, YAPEIM telah menyalurkan bantuan berjumlah RM205,500 kepada pengamal media yang memerlukan sejak 2023 hingga tahun ini.
Dalam pada itu, Zulkifli menggalakkan masyarakat menyokong usaha YAPEIM dengan menyumbang dan berinfak menerusi pelbagai saluran yang disediakan.
Katanya, sokongan berterusan masyarakat penting bagi membolehkan lebih banyak program pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan dilaksanakan untuk membantu golongan memerlukan.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara YAPEIM dengan AlHijrah Media Corporation (AHMC) dan KopMedia bagi menjalin kerjasama strategik menerusi Program Pengukuhan Amalan Sadaqatul Jariah melalui Skim Rakan Strategik Infak (RSI).
Kerjasama itu bertujuan memperluas penyertaan masyarakat dalam amalan infak secara berterusan, selain memperkukuh usaha pengumpulan dana bagi menyokong pelaksanaan program dan inisiatif YAPEIM.
Untuk rekod, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM771 juta kepada lebih 10.7 juta penerima manfaat di seluruh negara sejak penubuhannya pada 1985 sehingga September lalu.
Agihan itu merangkumi pelbagai program di bawah tiga teras utama iaitu Pembangunan Ekonomi Islam, Pembangunan Pendidikan dan Pembangunan Kemasyarakatan.





