Lebih 40,000 kandungan buli dalam talian diturunkan tahun ini – Fahmi

SEBANYAK 40,214 kandungan berunsur buli dan 55 kandungan jelik membabitkan kanak-kanak diturunkan oleh penyedia perkhidmatan susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan memandang serius isu keselamatan kanak-kanak dalam talian khususnya berkaitan buli siber, eksploitasi seksual dan pendedahan kepada kandungan memudaratkan.

“Statistik penurunan kandungan berunsur buli merangkumi semua kategori umur dan tidak diperincikan mengikut umur pengguna.

“Statistik tersebut merujuk kepada jumlah kandungan yang diturunkan dan bukan jumlah kes jenayah atau mangsa yang terlibat,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat hari ini yang meminta jumlah kes buli siber, eksploitasi seksual dan kandungan berbahaya terhadap kanak-kanak sepanjang 2026 serta keberkesanan kerangka pelesenan platform media sosial yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2025.

Fahmi berkata, usaha menangani isu berkenaan dilaksanakan secara bersepadu membabitkan kementerian dan agensi berkaitan mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang masing-masing.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang berkaitan kesalahan jenayah buli siber dan eksploitasi seksual kanak-kanak, termasuk menerusi Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Komunikasi melalui MCMC melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap kandungan memudaratkan dalam talian yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Mengulas usaha membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian, Fahmi memberitahu, MCMC turut bekerjasama dengan PDRM menerusi bantuan teknikal, pembekalan maklumat, analisis forensik digital dan operasi bersepadu.

Antara hasil operasi sepanjang tahun ini ialah Operasi Cyber Guardian 2026 yang membawa kepada 69 tangkapan serta rampasan 498,690 fail digital, termasuk 204,934 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Selain itu, Op Pedo Bersepadu 3.0 yang dilaksanakan pada 14 hingga 16 September lalu hasil risikan bersama PDRM dan MCMC membabitkan 52 serbuan serta 53 tangkapan, termasuk lapan remaja.

Menurut Fahmi, kerjasama kedua-dua agensi menerusi Op Pedo 1.0 sebelum ini turut membawa kepada penahanan beberapa individu dan rampasan lebih 40,000 fail CSAM.

Bagi Op Pedo 2.0 yang dilaksanakan pada 22 hingga 30 September 2025 pula, sebanyak 37 serbuan dilakukan di sembilan negeri dengan 31 tangkapan serta rampasan lebih 880,000 fail CSAM, manakala 17 individu telah didakwa di mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, MCMC melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan media sosial di bawah Seksyen 233 Akta 588 bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November 2026.

Katanya, sebanyak 25 kes telah didakwa di mahkamah, 16 kes dikompaun dan 41 kes dikenakan surat amaran.

Beliau berkata, individu yang disabitkan kesalahan di bawah peruntukan berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak, hukuman lebih berat diperuntukkan iaitu penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

Mengenai keberkesanan kerangka pelesenan platform media sosial, Fahmi berkata, MCMC sedang memantau pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta tahap pematuhan penyedia perkhidmatan berlesen.

Katanya, penilaian berterusan akan dibuat berdasarkan tahap pematuhan dan tindakan penyedia perkhidmatan dalam menangani kandungan memudaratkan dalam talian.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here