JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur menyita 86 unit basikal elektrik (e-bike) yang disyaki diimport tanpa kelulusan dalam operasi serbuan di sembilan premis sekitar Lembah Klang, dari 27 hingga 30 Oktober lalu.
Rampasan menerusi Op Piawai E-Mobiliti 2026 itu membabitkan nilai keseluruhan RM268,279 termasuk duti dan cukai sebanyak RM56,701.
Pengarah JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama SIRIM Berhada (SIRIM) bagi membanteras kegiatan penjualan basikal elektrik yang tidak memenuhi syarat pengimportan ditetapkan.
Beliau berkata, sembilan kertas siasatan dibuka susulan operasi itu, manakala sembilan wakil syarikat turut dipanggil bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati basikal elektrik berkenaan disyaki dibawa masuk ke Malaysia tanpa mematuhi syarat pengimportan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya hari ini, lapor Bernama.
Menurutnya, pihaknya turut menyiasat kemungkinan basikal elektrik itu diimport secara berasingan atau dalam keadaan terlerai sebelum dipasang semula di negara ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, kaedah pengimportan berkenaan masih dalam siasatan dan pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada penjualan produk itu turut dilakukan menerusi platform dalam talian.
Sementara itu, wakil SIRIM menjelaskan pengujian basikal elektrik dilaksanakan berdasarkan piawaian MS 2514 bagi memastikan kenderaan berkenaan memenuhi ciri keselamatan yang ditetapkan.
Langkah itu penting bagi memastikan basikal elektrik yang dipasarkan mematuhi standard keselamatan sekali gus melindungi pengguna.
Basikal elektrik berkenaan tertakluk kepada larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan permit import yang dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.





