KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membawa isu pembayaran duti import mesin yang didakwa masih dikenakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) walaupun syarikat tempatan mendapat kelulusan pengecualian daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kepada pihak Kastam dan Kementerian Kewangan (MoF).
Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu dibangkitkan beberapa pengusaha industri ketika sesi dialog bersama komuniti perniagaan di Melaka malam tadi.
Beliau berkata, terdapat syarikat yang mendakwa masih dikenakan bayaran duti ketika membawa masuk mesin dan peralatan dari luar negara meskipun sudah memperoleh surat kelulusan pengecualian daripada MIDA.
“Ada beberapa kes seperti ini dan saya akan membawa perkara ini kepada pihak Kastam serta Kementerian Kewangan. Perkara ini tidak boleh berlaku.
“Kalau begitu, tidak perlulah MIDA. Syarikat datang memohon, MIDA memberikan pengecualian tetapi apabila mesin dibawa masuk, mereka masih perlu membayar duti,” katanya.
Menurut Johari, isu berkenaan perlu diberi perhatian kerana boleh menjejaskan kedudukan kewangan syarikat, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuat pelaburan untuk meningkatkan keupayaan serta kecekapan pengeluaran.
Katanya, kemudahan pengecualian duti import diberikan bagi menggalakkan syarikat melabur dalam peralatan dan teknologi baharu, sekali gus meningkatkan produktiviti operasi.
“Perkara ini tidak boleh berlaku kerana ia menjejaskan aliran tunai mereka.
“Mereka membuat keputusan membeli mesin kerana mahu meningkatkan kecekapan pengeluaran. Sebab itulah kita memberikan pengecualian berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya belum berpeluang meneliti dokumen berkaitan dakwaan berkenaan dan meminta pengusaha industri mengemukakan maklumat lengkap bagi membolehkan perkara itu disiasat.
“Saya belum berpeluang melihat dokumen berkaitan perkara yang dibangkitkan dalam dialog tadi.
“Namun, berikan saya fakta dan maklumat lengkap, saya akan menyiasat perkara ini. Kalau bayaran itu tidak dipulangkan, kita perlu bertanya mengapa. Sampai bila orang hendak menghormati MIDA jika keadaan seperti ini berlaku?,” katanya.
Dalam pada itu, Johari menegaskan penyelarasan antara agensi kerajaan perlu diperkukuh bagi memastikan dasar dan kemudahan yang diluluskan dapat dilaksanakan secara konsisten di semua peringkat penguatkuasaan.
Beliau berkata, sesi dialog bersama komuniti perniagaan juga menjadi platform penting untuk mengenal pasti kekangan pelaksanaan dasar serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pemain industri.




