ISTANA Hinggap di Seremban kembali menjadi perhatian apabila Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan tiga pemimpin tertinggi UMNO dijangka menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh difahamkan dijadual menghadap baginda pada jam 1.30 petang ini.
Perkembangan itu mencetuskan spekulasi mengenai kedudukan beliau sebagai Menteri Besar, termasuk dakwaan kemungkinan mengemukakan surat peletakan jawatan, namun perkara itu belum dapat disahkan.
Sekiranya pertemuan itu berlangsung, ia merupakan kali ketiga Ismail menghadap Tuanku Muhriz sejak isu kedudukan beliau sebagai Menteri Besar mula tercetus, lapor Sinar Harian.
Dalam pertemuan Jumaat lalu, Ismail memaklumkan bahawa baginda menitahkan beliau supaya meneruskan tugas seperti biasa.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan pada hari sama meminta Ismail membuktikan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti ADUN bagi menentukan kedudukannya, selaras dengan konvensyen serta peruntukan perlembagaan.
Perkembangan itu disusuli kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan pada malam berkenaan bahawa 24 ADUN daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) bersetuju mematuhi arahan serta ketetapan pucuk pimpinan parti masing-masing.
Sejak itu, Ismail belum mengeluarkan sebarang kenyataan terbaharu berhubung kemelut berkenaan.
Beliau juga baru sahaja dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan akibat demam panas.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga pemimpin tertinggi BN turut dijangka menghadap Tuanku Muhriz pada jam 3 petang ini.
Mereka ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Difahamkan, pertemuan itu dijangka berlangsung ketika kedudukan kepimpinan kerajaan negeri masih menjadi perhatian susulan perkembangan politik sejak beberapa hari lalu.





