SEORANG lelaki maut selepas dipercayai ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan kedai makan Honpei, Jalan Raya, Pekan Lama Kuala Ketil, awal pagi tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah malam dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Menurutnya, pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati mangsa mengalami 16 kecederaan akibat tetakan, termasuk di bahagian kaki, tangan, lutut dan belakang leher.
“Hasil siasatan dan risikan mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada dendam serta perebutan kawasan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, maklumat orang awam memaklumkan empat lelaki bersenjatakan parang turun dari sebuah kereta jenis Proton Persona sebelum mengejar dan menetak mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.





