UGUTAN membakar rumah dan menculik anak perempuan antara gangguan yang didakwa diterima seorang pemandu e-hailing daripada along susulan pertikaian bayaran pinjaman wang berjumlah RM16,000.
Gangguan itu turut membabitkan ahli keluarga pengadu apabila rumah bapanya di Kajang dan kediaman kakaknya di Puchong didakwa disimbah cat merah.
Pengadu yang dikenali sebagai Kok Wei, 46, membuat laporan semalam selepas mendakwa menerima pelbagai ugutan menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon daripada individu dipercayai mewakili pemberi pinjaman wang berkenaan.
Menurutnya, dia membuat pinjaman daripada seorang pemberi pinjaman wang dikenali sebagai Ah Yang pada Januari 2025 bagi tujuan perjudian.
“Saya sudah membuat empat bayaran ansuran berjumlah RM2,400 sebelum gagal menghubungi pemberi pinjaman itu untuk pembayaran seterusnya,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.
Kok Wei berkata, pada 30 Jun 2025, dia menerima mesej WhatsApp daripada individu yang mendakwa mewakili Ah Yang meminta hutang berkenaan diselesaikan sekali gus sebanyak RM30,000.
Bagaimanapun, gangguan didakwa berterusan apabila rumah bapanya di Kajang disimbah cat merah pada 29 Januari lalu.
Susulan kejadian itu, jumlah penyelesaian hutang didakwa meningkat kepada RM36,000, manakala permintaannya untuk membuat pembayaran secara ansuran ditolak.
Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 44 tahun dari Pahang turut membuat aduan selepas mendakwa keluarganya diganggu along susulan pinjaman wang yang dibuat adik perempuannya.
Menurutnya, adiknya, Chong Mai Koo, 30, yang bekerja sebagai eksekutif, dipercayai membuat tiga pinjaman berjumlah kira-kira RM313,000 bagi memenuhi ketagihan judi dalam talian.
Pinjaman itu didakwa dibuat pada 9, 21 dan 28 Oktober lalu.
Wanita itu berkata, adiknya turut mengalami krisis emosi dan cuba mencederakan diri pada 6 November lalu.
“Selepas kejadian itu, along didakwa mula mengganggu dan mengugut pengadu serta ahli keluarga lain berhubung hutang berkenaan,” katanya.





