NEXSEC2026 perkukuh kerjasama, pembangunan bakat keselamatan siber negara

KERJASAMA erat antara kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi perlu diperkukuh bagi membangunkan ekosistem keselamatan siber negara yang lebih mantap, khususnya dalam melahirkan tenaga pakar serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman digital.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, usaha membina ekosistem berkenaan memerlukan komitmen berterusan semua pihak bagi memastikan negara memiliki kepakaran dan keupayaan teknikal yang diperlukan.

DATUK Abdul Halim Hamzah berucap pada majlis penutup NEXSEC2026 anjuran MCMC di MITEC, Kuala Lumpur. GAMBAR: MCMC

“Landskap ancaman siber yang sentiasa berkembang menuntut pendekatan lebih menyeluruh, termasuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam, industri dan institusi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup NEXSEC2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara hari ini.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta dari Malaysia dan negara ASEAN, merangkumi pemain industri, pakar keselamatan siber, ahli akademik serta bakat muda.

Penganjuran berkenaan menyediakan platform kepada peserta untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan meneroka penyelesaian inovatif bagi menangani pelbagai cabaran keselamatan digital.

Antara pengisian utama NEXSEC2026 adalah Simposium Perkongsian Teknologi, Meja Bulat Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO), Pameran Teknologi dan Bakat serta pertandingan Capture the Flag (CTF).

Program itu turut memberi peluang kepada peserta memperluas jaringan profesional, meningkatkan kemahiran praktikal dan memahami keperluan sebenar industri keselamatan siber.

Pada majlis penutupan, pasukan Perisai+ dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara pertandingan CTF, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000, plak dan sijil termasuk sijil EC-Council.

Kesemua lima pasukan terbaik turut menerima plak dan sijil sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian masing-masing.

Selain itu, tiga pemenang sesi pembentangan inovasi (Pitching Session) turut menerima hadiah atas kreativiti, keupayaan teknikal dan kebolehan menghasilkan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran keselamatan siber.

MCMC dalam kenyataannya memaklumkan, penganjuran pertandingan CTF dan sesi pembentangan inovasi itu mencerminkan komitmen suruhanjaya berkenaan dalam mencungkil serta mengasah bakat muda dalam bidang keselamatan siber.

Inisiatif itu juga bertujuan memupuk kreativiti dan menggalakkan pembangunan penyelesaian baharu, selain menyokong usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan ekosistem digital negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here