Bas Rapid KL terbakar di Lebuhraya SUKE ketika dalam perjalanan ke bengkel

SEBUAH bas Rapid KL yang dalam perjalanan ke bengkel untuk penyelenggaraan, terbakar di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), berhampiran Bukit Segar, Kuala Lumpur petang tadi.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan bas berkenaan milik Handal Indah Sdn Bhd, operator yang berkhidmat di bawah Rapid Bus Sdn Bhd dan tidak membawa penumpang ketika kejadian kira-kira jam 2 petang.

Menurut kenyataan itu, bas terbabit dipandu seorang juruteknik dari Depoh Bas Kepong menuju ke sebuah bengkel di Beranang bagi tujuan penyelenggaraan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan berhampiran Bukit Segar, bas itu dipercayai mengalami kerosakan sebelum berlaku kebakaran.

“Susulan kejadian, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian bagi menjalankan operasi pemadaman,” menurut kenyataan itu.

Bas berkenaan kemudian berjaya ditunda pada jam 3.28 petang ke sebuah depoh di Klang selepas JBPM mengesahkan lokasi kejadian selamat dan tiada lagi risiko bahaya.

Rapid KL turut mengesahkan juruteknik yang memandu bas berkenaan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Pihak syarikat akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Pemeriksaan dalaman turut akan dilaksanakan bagi meneliti keadaan bas berkenaan serta aspek berkaitan penyelenggaraannya,” menurut kenyataan itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here