AS perlu timbang pelaburan sendiri di Malaysia dalam rundingan tarif – PM

MALAYSIA mahu Amerika Syarikat (AS) mengambil kira kepentingan pelaburan syarikat negara itu di Malaysia apabila mempertimbangkan pelaksanaan tarif terhadap negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan Washington perlu mengambil kira hakikat bahawa sebahagian produk yang dieksport ke AS dihasilkan menerusi pelaburan syarikat Amerika sendiri di Malaysia.

Beliau berkata, sekiranya AS mengenakan sekatan terhadap eksport cip keluarannya ke negara lain, kerajaan boleh memantau perkara berkenaan, namun situasinya berbeza apabila produk itu dihasilkan di Malaysia menerusi pelaburan syarikat AS sebelum dieksport semula ke negara berkenaan.

“Kalau ada sekatan terhadap cip AS untuk dijual ke negara lain, kita boleh pantau perkara itu.

“Tetapi jika pelaburan itu datang dari Amerika Syarikat, cip dihasilkan di sini dan kemudian dieksport ke AS, mereka sepatutnya mempertimbangkannya semula,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang hari ini.

Anwar berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sudah memberikan taklimat kepada Kabinet mengenai perkembangan isu tarif berkenaan hari ini.

Beliau turut menegaskan pendirian Malaysia dalam rundingan dengan Washington kekal tegas, khususnya dalam memastikan kepentingan perdagangan dan pelaburan negara tidak terjejas.

Semalam, Johari dilaporkan berkata, Malaysia akan meneruskan rundingan dengan AS bagi mengehadkan kadar tarif pada 19 peratus, susulan cadangan Washington yang meletakkan kadar antara 18 hingga 25 peratus.

Isu tarif berkenaan timbul susulan langkah pentadbiran AS di bawah Presiden Donald Trump memperkenalkan dasar tarif timbal balik terhadap rakan dagang negara itu, termasuk Malaysia, sebagai sebahagian usaha mengurangkan defisit perdagangan dan menyusun semula hubungan perdagangan antarabangsa.

Malaysia antara negara yang terkesan dengan dasar berkenaan memandangkan AS merupakan antara rakan dagang utama negara, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta produk pembuatan.

Sehubungan itu, kerajaan meneruskan rundingan bagi mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah dengan mengambil kira hubungan perdagangan dua hala, sumbangan pelaburan AS serta kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here