Google lambat bertindak aduan perjudian dalam talian, Anwar pertahan saman MCMC

DATUK Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyaman Google berhubung dakwaan kegagalan menangani kandungan berbahaya di YouTube, khususnya promosi perjudian dalam talian.

Perdana Menteri berkata, tindakan undang-undang itu diambil selepas aduan berulang kali dikemukakan kepada syarikat teknologi berkenaan, namun tiada tindakan sewajarnya diambil sehingga ada kes yang mengambil masa sehingga enam bulan untuk mendapat maklum balas.

“Antara yang kita laporkan kepada Google adalah kes perjudian dalam talian, tetapi selepas enam bulan, tiada tindakan diambil.

“Bagaimanapun, saya sudah membangkitkan perkara ini dengan Google dan saya percaya syarikat itu sedang meneliti perkara berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang hari ini.

MCMC sebelum ini memaklumkan sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Oktober lalu, dengan 74,569 daripadanya atau 99.8 peratus membabitkan kandungan perjudian dalam talian.

Pada Rabu lalu, MCMC mengumumkan pemfailan dua saman terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi berjumlah RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan berbahaya di platform YouTube.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching sebelum ini memaklumkan saman MCMC terhadap Google sudah diserahkan kepada peguam syarikat berkenaan di Malaysia.

Beliau berkata, kelemahan sistem tapisan kandungan YouTube menyebabkan MCMC terpaksa menggunakan kakitangannya sendiri untuk memantau serta melaporkan kandungan perjudian dalam talian, sedangkan Google sepatutnya mempunyai pasukan khusus bagi menjalankan tugas berkenaan.

Anwar dalam pada itu berkata, beliau turut menghubungi Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet, syarikat induk Google, Ruth Porat semalam bagi membincangkan isu berkenaan.

Menurutnya, Ruth memberikan maklum balas bahawa Google bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani masalah kandungan berbahaya di platform berkenaan.

“Saya percaya Google sedang meneliti perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya. Semalam saya sendiri menghubungi Ruth Porat.

“Beliau memberi maklum balas bahawa Google akan bekerjasama untuk menangani masalah ini,” katanya.

Mengulas kebimbangan tindakan undang-undang itu boleh menjejaskan pelaburan Google di Malaysia, Anwar memberi jaminan perkara berkenaan tidak akan memberi kesan terhadap komitmen pelaburan syarikat teknologi itu di negara ini.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here