Isu pelarian Rohingya: Shahril sifatkan kesilapan Zahid memalukan

BEKAS Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Hamdan secara terbuka mengkritik keterlanjuran Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkaitan kesediaan Turkiye menerima 10,000 pelarian Rohingya dari negara ini.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO tersebut umpama ‘menjaringkan gol sendiri’ apabila menarik balik kenyataan yang dibuat.

Sehubungan itu, Shahril menyifatkan, kenyataan pramatang Ahmad Zahid bukan sahaja memalukan diri dan pasukannya, malah turut membawa implikasi negatif kepada negara.

“Kalau kita punya orang nombor dua dalam kerajaan buat satu kenyataan yang kemudiannya kerajaan lagi satu cakap, itu tak betul, bagi saya ia memalukan. Saya rasa tak patutlah benda itu berlaku,” kata Shahril dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap.

Shahril menegaskan, kesilapan yang dilakukan oleh Ahmad Zahid itu mengukuhkan tanggapan bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tidak layak menjadi pemimpin negara.

‘’Naratif  itu akan terus diketengahkan Pakatan Harapan (PH) di tengah-tengah hubungan yang semakin tegang dengan BN di peringkat Persekutuan,’’ katanya.

Beliau berkata, akaun media sosial pro-PH sudah mula menyebarkan semula video lama Ahmad Zahid yang menunjukkan beliau seolah-olah memarahi wartawan dan kurang menguasai bahasa Inggeris.

“Ini bukan kebetulan. Mereka cuba menggambarkan PMX sebagai pemimpin yang tenang, yang boleh bercakap di pentas antarabangsa dan boleh dilihat sebagai seorang yang ada gaya sebagai Perdana Menteri. Ahmad Zahid cuba digambarkan oleh jentera siber PH sebagai seorang yang panas baran dan mengeluarkan kenyataan yang memalukan negara,” kata Shahril.

Pada 20 November, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan bahawa Jemaah Menteri meluluskan rancangan untuk menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya ke Turki melalui program latihan teknikal dan vokasional selama tiga hingga enam bulan.

 Bagaimanapun, pengumuman Ahmad Zahid itu kemudiannya ditarik balik tanpa sebarang penjelasan, manakala Turki mengeluarkan kenyataan menolak dakwaan berkenaan.

Anwar kemudiannya berkata Turki memaklumkan kepada Malaysia bahawa negara itu tidak bersedia menerima pelarian Rohingya dari Malaysia kerana kini menempatkan empat juta pelarian.

Timbalan Presiden Muda Zaidel Baharuddin.Zaidel pula mempersoalkan mengapa Zahid mengeluarkan kenyataan itu sedangkan urusan dua hala terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Negeri, yang diterajui Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here