TEKUN tawar pra-kelulusan pembiayaan sepantas tiga jam di Yakin MADANI

USAHAWAN berpeluang mendapatkan keputusan pra-kelulusan bersyarat pembiayaan TEKUN Nasional sepantas tiga jam bagi permohonan antara RM1,000 hingga RM20,000 menerusi perkhidmatan TEKUN Mobile sempena Program Yakin MADANI Peringkat Pulau Pinang di Balik Pulau hari ini.

Inisiatif itu dibawakan TEKUN Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), bagi memudahkan usahawan mendapatkan akses pembiayaan mikro untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan masing-masing.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) TEKUN Nasional, Misman Hussin

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) TEKUN Nasional, Misman Hussin, berkata kemudahan itu membolehkan usahawan mengetahui lebih awal kedudukan permohonan mereka, sekali gus merancang keperluan perniagaan dengan lebih teratur.

Beliau berkata, keputusan pra-kelulusan bersyarat sepantas tiga jam itu boleh diperoleh menerusi TEKUN Mobile, tertakluk kepada permohonan dan dokumen yang dikemukakan lengkap.

“Kelulusan akhir dan penyaluran pembiayaan masih tertakluk kepada semakan serta proses TEKUN Nasional,” katanya ketika ditemui sempena program berkenaan di Kompleks Sukan Balik Pulau.

Menurutnya, TEKUN menawarkan pelbagai pilihan pembiayaan mengikut keperluan dan peringkat perkembangan perniagaan, sama ada bagi usahawan baharu mahupun mereka yang sudah beroperasi.

Katanya, usahawan yang baru memulakan perniagaan boleh menggunakan pembiayaan untuk menyediakan stok awal atau membeli peralatan asas, manakala peniaga sedia ada boleh memanfaatkannya sebagai modal pusingan, menambah stok atau meningkatkan kapasiti perniagaan.

Justeru, beliau menasihatkan usahawan supaya mengenal pasti tujuan pembiayaan serta jumlah modal diperlukan terlebih dahulu sebelum mendapatkan khidmat nasihat daripada petugas TEKUN.

Misman berkata, usahawan yang berminat boleh mengunjungi TEKUN Mobile di Kompleks Sukan Balik Pulau sepanjang Program Yakin MADANI berlangsung hari ini dan esok.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi TEKUN Mobile, manakala petugas yang disediakan akan membantu pemohon mengisi permohonan, menyemak kelengkapan dokumen dan menerangkan proses seterusnya.

Bagi melancarkan urusan permohonan, usahawan diminta menyediakan empat dokumen utama iaitu lesen perniagaan atau pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan jika berkenaan, penyata kewangan tiga bulan serta gambar perniagaan.

Beliau berkata, kemudahan berkenaan antara usaha TEKUN mendekatkan perkhidmatan pembiayaan kepada komuniti usahawan, khususnya mereka yang memerlukan modal untuk mengembangkan perniagaan.

Selain kemudahan pembiayaan, Program Yakin MADANI yang dianjurkan KUSKOP dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri itu turut menyediakan pelbagai pengisian untuk masyarakat setempat.

Antara yang menarik perhatian ialah Konsert Gen Z Take Over pada jam 9 malam ini yang menampilkan Band TEKUN, Aiman Tino dan Iman Troye di Pentas Utama.

Program turut menyediakan sesi perkongsian ‘Buka Cerita, Buka Peluang’ bersama Leeyani Zaki pada jam 3 petang esok bagi berkongsi ilmu dan pengalaman menjalankan perniagaan menerusi platform TikTok Shop.

Sesi berkenaan memberi peluang kepada usahawan mendapatkan pendedahan mengenai potensi perniagaan dalam talian, khususnya dalam usaha memperluas pasaran dan menjangkau pelanggan baharu.

Misman turut mengajak usahawan yang memerlukan modal perniagaan supaya mengambil peluang mengunjungi TEKUN Mobile dengan membawa dokumen lengkap bagi mendapatkan penerangan dan khidmat bantuan permohonan sepanjang program berlangsung.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here