LEBIH 300 jenis barangan keperluan harian ditawarkan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM), antara pengisian Program Yakin MADANI Peringkat Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau.
Program dua hari bermula hari ini dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri.
Ketua Seksyen Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Sivakami Muniandy, berkata PJRM menawarkan pelbagai barangan keperluan asas termasuk beras, minyak masak, gula, tepung, telur dan ayam.
Beliau berkata, inisiatif itu antara usaha kerajaan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup menerusi penawaran barangan pada harga lebih rendah berbanding pasaran tempatan.
Katanya, pengurangan harga berkenaan berfungsi sebagai penyerap kejutan atau buffer kepada golongan yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah.
“Fokus utama kita bukan barangan mewah, sebaliknya barangan asas seperti ayam segar, telur, minyak masak, beras, sayur-sayuran dan barangan mandian yang menjadi keperluan harian rakyat,” katanya.
Menurut beliau, PJRM bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah membantu peniaga meningkatkan aliran pelanggan dan transaksi menerusi kerjasama dengan pasar raya utama serta pemborong tempatan.
Bagi memastikan inisiatif itu dapat dinikmati lebih ramai masyarakat, KPDN melaksanakan tiga model PJRM mengikut kesesuaian infrastruktur, lokasi dan keperluan penduduk setempat.
Tiga model berkenaan ialah PJRM Bergerak menggunakan lori atau trak bagi membawa barangan keperluan ke kawasan yang kurang mempunyai kemudahan peruncitan, PJRM Dalam Premis menerusi kerjasama pasar raya dan premis perniagaan serta PJRM Luar Premis (Premium) di lokasi tumpuan awam.

Sivakami berkata, model PJRM Luar Premis (Premium) dilaksanakan berdasarkan keperluan tertentu termasuk di dewan orang ramai, premis pejabat dan kawasan terbuka seperti penganjuran di Kompleks Sukan Balik Pulau.
Katanya, secara keseluruhan, PJRM dilaksanakan di 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 40 zon atau lokasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, dengan kekerapan minimum empat kali sebulan.
Orang ramai boleh menyemak jadual, tarikh dan lokasi penganjuran PJRM menerusi portal rasmi https://pjrm.kpdn.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai program berkenaan.
Sementara itu, Program Yakin MADANI Peringkat Pulau Pinang turut menyediakan pelbagai pengisian lain termasuk Jualan Agro MADANI, jualan usahawan tempatan serta reruai perkhidmatan kerajaan.
Pelbagai aktiviti turut disediakan untuk pengunjung khususnya golongan muda termasuk permainan elektronik (e-games), selain memberi peluang kepada keluarga meluangkan masa bersama-sama.
Sivakami menggalakkan warga Pulau Pinang dan kawasan sekitar mengambil peluang mengunjungi program berkenaan yang menyediakan pelbagai tawaran dan aktiviti menarik sepanjang dua hari penganjuran.
Program Yakin MADANI Peringkat Pulau Pinang berlangsung di Kompleks Sukan Balik Pulau sehingga esok dengan pelbagai pengisian terbuka kepada orang ramai.





