
SEBELUM mengulas lanjut tentang tajuk khusus rencana minggu ini, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak yang membentangkan Belanjawan 2027 Negeri Perak baru-baru ini dengan temanya “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera: Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina”.
Difahamkan bahawa bajet kali ini yang berjumlah RM1.693 bilion merupakan bajet terbesar jumlahnya dalam sejarah belanjawan Perak.
Namun, sesuai dengan temanya diharapkan bajet ini bukan sahaja benar-benar berkesan supaya dapat mengembalikan Perak sebagai negeri termaju di Malaysia seperti suatu masa dahulu, tetapi juga dapat dirasai oleh rakyat secara realitinya.
Minggu ini, saya ingin menceritakan bagaimana tiga orang anak muda yang merupakan sebahagian daripada graduan dan anak muda yang diasuh secara TVET oleh Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) milik saya sejak tahun 2008 kini sedang bergiat aktif menjadi usahawan tani atau TVETprenuer di Perak dalam bidang masing-masing.
Mereka adalah Aminudin Zaibani, 36 tahun (tauke pembenihan ikan di Kampar, Perak), Amin Amirul Akhmal Shrom, 31 tahun (kontraktor sawit Felda Bersia, Gerik) dan Azif Hazriq Hasmadi, 19 tahun (pelajar tahun akhir Diploma Agroindustri Tanaman, Kolej Vokasional Pertanian, KPM di Teluk Intan, Perak).
Aminudin Zaibani diasuh dengan Sijil Kemahiran Malaysia (Akuakultur) di kampus Durian Tunggal, Melaka pada tahun 2008-2010. Sejak tamat latihan, Amin terus dibimbing hingga kini dan mempunyai lima pusat pembenihan ikan termasuk di Kampar dan Sungai Siput.
Amin pula asalnya adalah graduan Ijazah Maritim ketika Covid-19 tetapi mengikuti latihan pertanian di IGROW Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak. Hasil didikan yang berkesan, Amin memilih menjadi kontraktor memotong buah sawit Felda sejak tamat latihan pada tahun 2021 hingga kini kerana Felda memberi kepercayaan kepada beliau dengan saiz kontrak seluas 80 hektar, di kampung halamannya iaitu Felda Bersia, Gerik.

Paling muda dalam kalangan mereka ialah Azif Hazriq Hasmadi yang asalnya boleh dianggap anak Kuala Lumpur yang mengikut keluarganya berpindah ke Teluk Intan 10 tahun lalu. Suasana pertanian di IGROW telah menarik minat Azif menyertai sektor itu kerana beliau selalu berkunjung ke IGROW seawal usia 9 tahun lagi.
Oleh kerana kesungguhan dan jiwa usahawan tani mereka yang tinggi, saya bercadang menghimpunkan mereka di Kompleks Sekuriti Makanan IGROW (KOMEI) di Wilayah Air Itam Labu, Mukim Kampar, Daerah Kampar, Perak dalam masa terdekat untuk menjadi pengusaha dan peneraju (pembangunan pengeluaran dan latihan) dengan pendekatan generasi baru (futuristik).
Saya bersyukur kerana bekas graduan saya ini telah menunjukkan minat meneruskan legasi saya iaitu bukan sahaja untuk memenuhi tuntutan sekuriti makanan negara dan dunia tetapi juga menerima inisiatif saya untuk menggalakkan penyertaan golongan muda meneruskan pembangunan sosioekonomi di luar bandar, khususnya di Perak.
Kita sedia maklum bahawa Perak hari ini belum berupaya sepenuhnya untuk menarik minat generasi muda agar berterusan memajukan luar bandar dan tinggal di kampung.
Sejak kebelakangan ini, terdapat tiga isu utama yang menjadi indikator kepada kekangan Perak untuk mengekalkan ramai generasi muda agar bermustautin dan menjana pendapatan tinggi di negeri Perak.
Isu-isu tersebut ialah :
- Negeri Perak dikategorikan sebagai negeri tertinggi yang mempunyai komposisi penduduk warga emas berusia 60 tahun dan ke atas tertinggi di Malaysia, iaitu 15.3 peratus daripada keseluruhan 2.6 juta penduduk negeri itu yang direkodkan pada tahun lepas.
- Perak juga adalah negeri ketiga tertinggi di Malaysia yang mempunyai Sekolah Kurang Murid (SKM) iaitu 252 buah sekolah (bawah 150 orang murid) selepas Sarawak dan Sabah.
- Kajian terkini Institut Darul Ridzuan (IDR) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) terhadap 8,000 responden rakyat di negeri Perak mendapati bahawa peluang pekerjaan menjadi kebimbangan dan keutamaan utama rakyat Perak masa kini, mengatasi isu kos sara hidup yang mendominasi tinjauan tahun sebelumnya. Dapatan ini diumumkan oleh Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr. Zulqarnain Mohamad, pada Oktober 2026 hasil kajian sempena Belanjawan 2027 Negeri Perak.
Walaupun menyedari banyak cabaran di Perak seperti di atas, tiga orang belia ini mempunyai pemikiran dan tindakan yang positif serta progresif dengan melihat potensi sebaliknya.
Menuju masa depan, kerajaan negeri khususnya tidak perlu menunggu lagi bagi menjalinkan kerjasama dengan IGROW untuk menjayakan model TVETprenuer IGROW ini agar dapat dilaksanakan ke seluruh negeri Perak melalui pendekatan latihan, bimbingan, teknologi moden serta cara perniagaan generasi baru.
Selain itu, model ini juga membolehkan Perak memberi fokus yang lebih besar kepada pembangunan ekonomi belia moden di luar bandar bagi mewujudkan kepelbagaian sumber ekonomi tanpa bergantung kepada pelaburan mega atau luar yang mengambil masa dan kadang-kadang akhirnya tidak benar-benar menguntungkan warga tempatan.
Sinergi awam dan swasta yang pernah saya jalankan di seluruh negara dan antarabangsa membuktikan bahawa model IGROW ini membolehkan sesuatu dasar dilaksanakan secara CEPAT, CEKAP, JIMAT DAN BERKESAN.
Terpulanglah kepada pucuk pimpinan negeri untuk bekerjasama dengan model yang telah terbukti berjaya dan memberi impak yang besar. Sejak berbakti di Perak pada tahun 1998, saya berpengalaman berurusan dengan lima Menteri Besar Perak iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib, Dato’ Seri Diraja Tajol Rosli Ghazali, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Datuk Seri Faizal Azumu dan Datuk Seri Saarani Mohamad.
Masing-masing ada kelebihan, kekurangan dan gaya pentadbiran tersendiri yang pengamatan saya biarlah saya simpan secara peribadi tetapi jika kepimpinan sedia ada dapat bersama melahirkan ramai TVETprenuer pertanian seperti 3A ini yang nilai bisnes mereka mampu mencecah sehingga hampir RM1 juta setahun, bayangkan nilai dan impaknya jika kita ada sekurang-kurangnyanya 100 belia TVETprenuer tulen seperti ini di Perak?
Jawapannya pasti hasil yang lumayan dan Perak akan makmur bahagia terutama kepada generasi muda.
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.





