Dua kilang musnah 95 peratus dalam kebakaran di Ultramine Park

DUA buah kilang termasuk premis pembuatan perabot musnah hampir keseluruhan selepas kebakaran merebak ke sebuah kilang peralatan perubatan di Jalan Subang 4, Ultramine Park di Subang Jaya malam tadi.

Dalam kejadian itu, kedua-dua premis terbabit mengalami kemusnahan kira-kira 95 peratus, manakala dua lagi kilang berhampiran turut terjejas akibat bahang kebakaran.

Asap hitam tebal yang menjulang tinggi susulan kejadian itu turut dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.02 malam.

Beliau berkata, seramai 31 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Puchong, Damansara, Shah Alam dan Cyberjaya dihantar ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Pasukan pertama tiba pada jam 11.10 malam dan mendapati kebakaran membabitkan empat unit kilang.

“Api berjaya dikawal pada jam 11.56 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, selain dua kilang yang mengalami kemusnahan 95 peratus, dua lagi premis yang belum dikenal pasti pemilik atau pengendalinya masing-masing mengalami kerosakan kira-kira 20 dan 10 peratus.

Katanya, kerosakan pada kedua-dua kilang berkenaan hanya membabitkan bahagian bumbung.

Beliau berkata, operasi pemadaman sisa kebakaran masih diteruskan sehingga jam 3 pagi tadi, terutama di dua premis yang mengalami kemusnahan teruk.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here