Lelaki panjat struktur kaca KLIA dihantar ke wad psikiatri

SEORANG lelaki warga Nepal yang mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas memanjat struktur rangka cermin di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam, dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan psikiatri.

Lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai mengalami masalah kesihatan mental sejak beberapa bulan lalu, namun enggan mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, perkara itu dimaklumkan oleh seorang saksi yang juga rakan lelaki terbabit ketika siasatan dijalankan.

“Lelaki berkenaan dipercayai mengalami masalah mental sejak beberapa bulan lalu, tetapi enggan menerima rawatan.

“Dia kemudian dibawa ke Hospital Kajang dan ditempatkan di wad psikiatri bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 4.56 petang ketika lelaki itu berada berhampiran pintu G6 di kawasan pelepasan antarabangsa.

Beliau berkata, lelaki terbabit pada mulanya membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman orang awam sebelum bertindak memanjat rangka cermin bangunan berkenaan.

“Anggota kawalan keselamatan terminal yang tiba di lokasi berjaya menenangkan lelaki itu sebelum membawanya ke Balai Polis Terminal 1 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ravi berkata, siasatan turut mendapati lelaki berkenaan sepatutnya menaiki penerbangan pulang ke Nepal pada jam 6 petang, hari sama.

Katanya, pihak polis juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada Kedutaan Nepal.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kegusaran serta penyebaran maklumat tidak tepat, khususnya dalam kalangan pengguna KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

Terdahulu, aksi lelaki berkenaan yang hanya memakai seluar pendek ketika memanjat struktur besi pada dinding kaca KLIA Terminal 1 tular dalam media sosial.

Rakaman video yang dikongsikan pengguna Threads, Syamdut, menunjukkan lelaki itu berada di atas struktur berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here