Koperal polis mengaku tidak bersalah cederakan lelaki

SEORANG anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulim hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan seorang lelaki dalam kejadian di Kulim yang tular dalam media sosial pada April lalu.

Tertuduh, Shahrol Ikram Ahmad Halidin, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.

VIDEO tular anggota polis didakwa mencederakan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra Kulim pada 20 April lalu. Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa hari ini

Mengikut pertuduhan, anggota polis itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 32 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim, kira-kira jam 11 pagi, 20 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Ain Fadilla Muhammad Fauzi menawarkan jaminan RM6,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha Jamal yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan berkenaan.

“Anak guam saya berusia 43 tahun, mempunyai tanggungan keluarga termasuk seorang anak dan bertugas sebagai anggota polis di Balai Polis Kulim Hi-Tech.

“Anak guam saya juga berkemungkinan berdepan tindakan penggantungan kerja tanpa gaji. Saya percaya dia tidak akan melarikan diri,” katanya ketika mengemukakan hujah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 10 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here