RAKYAT bebas menyuarakan kritikan terhadap prestasi Kerajaan MADANI sepanjang empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun segala usaha dan kemajuan yang dicapai tidak seharusnya dipandang sebelah mata.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, meskipun masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, negara menunjukkan perkembangan positif menerusi usaha memulihkan ekonomi, menarik keyakinan pelabur serta memperkukuh tatakelola dan pengurusan kewangan.
Beliau mengakui masih ramai rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan pendapatan yang belum mencukupi, justeru kerajaan perlu terus mempergiat bantuan serta memperluas peluang ekonomi kepada masyarakat.
Pada masa sama, usaha membanteras rasuah juga perlu diperkukuh bagi memastikan agenda pembaharuan yang dibawa kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kerajaan tidak boleh menganggap semua perkara sudah sempurna. Kelemahan perlu diperbetulkan dan setiap teguran serta kritikan mesti diberikan perhatian supaya pentadbiran terus bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 24 November lalu, genap empat tahun Anwar menerajui negara sebagai Perdana Menteri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kerajaan Perpaduan dibentuk menerusi kerjasama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain.
Mengulas perkembangan politik semasa, Mahfuz mengingatkan semua pihak supaya tidak membiarkan persaingan mendapatkan kuasa sehingga menjejaskan kestabilan politik dan keyakinan pelabur terhadap negara.
Katanya, cita-cita politik perlu diletakkan pada kedudukan berbeza daripada kepentingan nasional kerana ketidaktentuan pentadbiran boleh memberi kesan kepada perancangan ekonomi serta masa depan Malaysia.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan sesetengah pihak menggunakan isu kaum dan agama sebagai modal politik untuk meraih sokongan.
Menurutnya, sentimen sedemikian boleh mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam, selain menimbulkan persepsi bahawa kerjasama antara kaum serta perbezaan pandangan merupakan ancaman kepada kepentingan sesuatu kelompok.
“Jangan sampai perbezaan politik menyebabkan masyarakat saling bermusuhan. Kerjasama antara kaum tidak sepatutnya dilabel sebagai pengkhianatan, begitu juga perbezaan pendapat tidak harus dijadikan alasan untuk memecahbelahkan rakyat,” katanya.





