IBU kepada bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad iaitu Nik Rahimah Nik Mahmood meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Berita pemergian Allahyarhamah itu dikongsikan pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi hantaran di Facebook.
“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Semoga saudara Nik Nazmi sekeluarga diberi kekuatan dan ketabahan,” katanya dalam hantaran itu.
Pemergian Nik Rahimah berlaku lebih sebulan selepas suaminya, Nik Ahmad Nik Hassan, meninggal dunia pada usia 96 tahun.
Nik Ahmad merupakan bekas penjawat awam yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978, ketika kementerian itu mula ditubuhkan pada era pentadbiran Perdana Menteri, Allahyarham Tun Hussein Onn.





