Kementerian Digital sumbang 45 peranti kepada anak Orang Asli Gerachi Jaya

SEBANYAK 45 unit peranti digital membabitkan 15 komputer riba dan 30 komputer tablet disumbangkan kepada anak-anak penduduk Orang Asli Kampung Gerachi Jaya menerusi Program Santuni MADANI Kementerian Digital.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penyediaan kelengkapan teknologi itu bertujuan membantu generasi muda mendapatkan akses lebih luas kepada bahan pembelajaran dalam talian, selain meningkatkan pengetahuan dan kemahiran digital.

GAMBAR: Kementerian Digital

Menurutnya, kemudahan berkenaan diharap dapat memudahkan urusan pembelajaran anak-anak kampung terbabit, termasuk mereka yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat universiti.

Beliau berkata, usaha memperluas akses teknologi kepada komuniti luar bandar, khususnya masyarakat Orang Asli, penting bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada perkembangan ekosistem digital negara.

“Kerajaan mahu memastikan masyarakat bukan sahaja menikmati kemudahan infrastruktur, malah mempunyai peluang untuk meningkatkan keupayaan diri dan membina masa depan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Program Santuni MADANI di Kampung Orang Asli Gerachi Jaya di Kuala Kubu Bharu hari ini.

Dalam program itu, Kementerian Digital turut menyiapkan kerja-kerja menaik taraf kemudahan fizikal dan prasarana kampung berkenaan membabitkan peruntukan RM100,000.

Projek itu merangkumi kerja penyelenggaraan serta pembaikan kecil di sekitar kampung, selain penyediaan stor simpanan bagi kegunaan komuniti setempat.

Majlis yang disempurnakan Gobind itu dihadiri kira-kira 300 tetamu dan penduduk kampung.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao; Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar serta wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Gobind dalam pada itu berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan memperluas pembangunan komuniti luar bandar secara inklusif, selaras aspirasi Malaysia ke arah mencapai status Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here