KEMENTERIAN Digital memperuntukkan RM700,000 bagi melaksanakan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Limbang, Sarawak bagi meningkatkan kemudahan komuniti, prasarana pendidikan serta akses digital di kawasan luar bandar.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Belimbing Melugus dan murid di beberapa sekolah, menerusi penyediaan kemudahan asas serta peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Menerusi Program KAM, sebanyak 29 isi rumah di Kampung Belimbing Melugus mendapat manfaat daripada pemasangan lampu solar LED, pembekalan kelengkapan sokongan kampung dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Kemudahan ICT turut diperluas kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ukong, manakala institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan menerima sokongan bagi melaksanakan kerja pemasangan peralatan elektrik di Kampung Belimbing Melugus,” menurut kenyataan itu.
Bagi Program SAM pula, SK St Edmund menerima kemudahan baharu termasuk skrin LED di dewan, papan pintar (smartboard) dan titik capaian tanpa wayar (wireless access point) bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Penyerahan kemudahan menerusi kedua-dua program itu disempurnakan dalam Majlis Penyerahan KAM dan SAM yang berlangsung serentak dengan Program Jelajah Digital di SK St Edmund semalam.
Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar dan disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail serta ADUN Batu Danau, Datuk Paulus Palu Gumbang.
Program SAM di SK St Edmund dilaksanakan di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Digital.
Majlis itu turut diadakan bersempena Hari Terbuka SK St Edmund yang menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan teknologi digital, antaranya pengenalan dan penerokaan kecerdasan buatan (AI), literasi digital, keselamatan siber serta pencegahan penipuan dalam talian.
Program berkenaan turut diserikan dengan Jualan Rahmah Madani yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan bagi membantu meringankan beban penduduk Limbang.
Menurut Kementerian Digital, pelaksanaan KAM dan SAM mencerminkan komitmen kerajaan Madani untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati masyarakat di peringkat akar umbi menerusi penyediaan kemudahan asas, peluasan akses teknologi dan penambahbaikan prasarana pendidikan.
“Kementerian Digital komited meneruskan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, selaras dengan usaha meletakkan Malaysia pada landasan kukuh menuju Negara AI 2030,” menurut kenyataan itu lagi.





