KEMENTERIAN Digital memperuntukkan RM100,000 bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Residensi di Georgetown menerusi Program Sekolah Angkat MADANI (SAM).
Inisiatif itu bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif, selain memperluas pendedahan murid terhadap teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Majlis penyerahan sekolah angkat berkenaan berlangsung pada 30 Oktober lalu dan disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Shariffah Rashidah Syed Othman, yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Digital.

Peruntukan berkenaan digunakan untuk memasang serta mendapatkan sistem siaraya tetap dan mudah alih, pendingin hawa, kipas siling, papan putih serta papan kenyataan.
Ia turut membiayai pembinaan bumbung sengkuap zink di bilik seni dan ruang wuduk, selain penyediaan sinki konkrit berjubin bagi meningkatkan keselesaan warga sekolah.

Kementerian Digital dalam kenyataan memaklumkan, program itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan fizikal, malah turut menyediakan peluang kepada murid meneroka perkembangan teknologi semasa.
“Penyerahan inisiatif di SK Jalan Residensi ini menzahirkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam memenuhi keperluan komuniti setempat, khususnya bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang kondusif serta menyediakan pendedahan teknologi digital kontemporari kepada murid,” menurut kenyataan kementerian itu.

Majlis berkenaan turut diadakan serentak dengan sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat sekolah yang diserikan dengan aktiviti penerokaan teknologi AI dan pendedahan literasi digital menerusi kerjasama Biji-biji Initiative serta AI Malaysia Berhad.
Pengisian interaktif itu memberi peluang kepada murid mengenali teknologi digital dengan lebih dekat, selain menyemai kesedaran mengenai kepentingan literasi digital sejak di bangku sekolah.
Kementerian Digital menegaskan komitmennya untuk meneruskan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, termasuk melalui Program Sekolah Angkat MADANI.
Menurut kementerian, usaha berkenaan turut menjadi asas dalam memperkukuh pembangunan digital secara inklusif serta menyokong aspirasi Malaysia menuju Negara AI 2030.





