PENYANYI Ahmad Nubhan, 39, memfailkan tuntutan hadanah iaitu hak penjagaan penuh dan interim tiga orang anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Perkara itu disahkan peguamnya, Mohd Redzuan Ramli yang memaklumkan tuntutan tersebut telah difailkan Nubhan terhadap isterinya, Dr Afifah Hidayah Tawfek pada September lalu.
“Hari ini merupakan sebutan pertama kes tuntutan hadanah yang difailkan anak guam saya. Beliau tidak dapat hadir hari ini kerana mempunyai mesyuarat selain sibuk dengan urusan kerja.
“Encik Nubhan telah membuat dua tuntutan iaitu hak penjagaan penuh secara mutlak dan interim yang mana kedua-dua itu masih di dalam kertas klausa yang tidak boleh didedahkan.
“Hak penjagaan yang dimaksudkan ialah hak bermalam, lawatan semasa hari raya, pergi sekolah dan sebagainya.
“Peguam yang mewakili defendan telah maklum akan perkara ini dan setuju berbincang untuk menyelesaikan secara baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohd Redzuan turut memaklumkan setakat ini tiga orang anaknya iaitu Aafiya Kamilia, 7, Ahmad Aaffan, 5, dan Afzan Nayille, 4, berada dalam jagaan ibu, namun tidak mempunyai sebarang halangan untuk Nubhan berjumpa mereka.
“Anak guam saya dan pihak defenden setuju untuk selesaikan cara baik. Sekarang ini anak-anak dijaga oleh ibu mereka.
“Semalam saya baru berbual dengan anak guam saya memaklumkan mereka tiada apa-apa masalah dalam urusan berkaitan penjagaan anak dan sebagainya.
“Mereka akan hadir untuk rekod persetujuan daripada perbincangan nanti. Sebutan kedua dijadualkan pada 26 November ini. Kita minta agar semua mendoakan agar dimudahkan urusan,” katanya.
Bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu sebelum ini memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Nubhan membuat permohonan itu memohon mahkamah untuk mengesahkan lafaz yang dibuat pada 2017 dan Ogos lalu, serta satu lafaz rujuk selepas talak pertama.
UNDILAH |



