Pasport Muhyiddin diberi sementara, transit Dubai dipendekkan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan semula pasportnya buat sementara waktu, namun menolak permintaannya untuk singgah transit lebih lama di Dubai dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu dijadualkan berlepas ke London pada 15 Disember ini bagi pemeriksaan perubatan di Platinum Medical Centre, dua hari kemudian, serta merancang meluangkan masa bersama keluarga di Madrid dari 20 Disember hingga 2 Januari 2026.

Lawatan itu adalah untuk pemeriksaan tahunan dan pemantauan terhadap kanser pankreas yang dihidapnya dan Muhyiddin juga merancang untuk singgah di Dubai sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada 8 Januari.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menegaskan bahawa tempoh transit di Dubai perlu dipendekkan.

“Berdasarkan afidavit sokongan, saya tidak nampak sebarang justifikasi untuk transit lima hingga enam hari di Dubai. Bahagian itu sangat jelas, kamu boleh lakukan transit dalam satu atau dua hari sahaja.

“Tiada sebarang justifikasi langsung untuk tempoh transit yang panjang. Saya percaya tempoh itu boleh dipendekkan,” katanya.

Beliau turut menegur Muhyiddin kerana menempah tiket penerbangan tanpa kebenaran mahkamah.

“Sebenarnya saya tidak cenderung untuk membenarkan (permohonan) ini, kamu tidak boleh mengambil mudah bahawa setiap permohonan akan diluluskan oleh mahkamah.

“Kamu mesti mendapatkan kelulusan mahkamah sebelum membuat tempahan,” katanya.

Hakim membenarkan permohonan itu dengan budi bicara, dengan syarat pasport diserahkan pada 8 Disember dan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 5 Januari depan.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad mewakili Muhyiddin manakala Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat dan Noralis Mat serta Wan Iman Wan Ahmad Afzal mewakili pihak pendakwaan.

Muhyiddin, 78, kini berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img