SEEKOR buaya tembaga sepanjang 2.5 meter ditangkap sepasukan anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kudat di kawasan pembinaan Kilang Kibing semalam.
Tangkapan itu susulan aduan yang diterima daripada pekerja tapak pembinaan ketika haiwan itu berehat di tepi kolam.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kudat dalam kenyataan berkata, beberapa anggota dihantar bagi menangkap buaya dianggarkan seberat 300 kilogram.
“Anggota menghadapi kesukaran pergerakan kerana reptilia terbabit berada di kawasan tanah lembut,” kata kenyataan itu.
Bantuan jengkaut turut digunakan bagi mengalih kedudukan haiwan tersebut sehingga berada di posisi sesuai untuk ditangkap.
Buaya tersebut kemudian dipindahkan ke tempat selamat dan dibawa ke PKOD Kudat untuk tindakan lanjut.


