MAHKAMAH Majistret Kuching hari ini menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes seorang mekanik yang didakwa membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Kampung Rampangi, Santubong dekat Kuching, awal bulan lalu.
Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng memaklumkan bahawa laporan bedah siasat mangsa masih belum diperoleh.
Mohammad Shukri Ryan, 32, yang tidak diwakili peguam didakwa membunuh Nurzahieyka Zainuddin di sebuah rumah di Kampung Rampangi, Jalan Sultan Tengah pada 7.45 malam, 7 Oktober lalu, lapor Bernama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Difahamkan mangsa merupakan anak kepada rakan wanita tertuduh.


