Muslihat Israel lantik dua menteri paling jahat Zionis laksana fasa kedua gencatan senjata di Gaza

PELAN damai dan gencatan senjata di Gaza yang sebelum ini begitu gembira disambut oleh pemimpin-pemimpin negara Islam dengan memberi pujian kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kini semakin tidak menentu.

Setelah AS berdiam diri atas satu demi satu tindakan Israel mencabuli gencatan senjata apabila terus menyerang dan membunuh penduduk Palestin di Gaza, terbaru rejim Zioni situ membentuk pasukan menteri yang akan bertanggungjawab melaksanakan fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Ketika negara Islam dan negara yang menyokong penubuhan negara Palestin bersetuju dengan pelan damai yang antara lain mewajibkan Hamas meletakkan senjata, rejim Israel melakukan tindakan tidak masuk akan dalam melantik anggota bagi pasukan menteri tersebut apabila turut menyenaraikan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Negara itu, Ben Gvir.

Pelantikan tersebut amat aneh dan janggal memandangkan kedua-dua mereka dianggap menteri paling jahat dan amat memusuhi rakyat Palestin. Kedua-dua mereka menentang perjanjian damai dan berulang kali menggesa serta memberi tekanan kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menawan Gaza dan mengusir penduduk Gaza secara paksa.

Oleh itu apabila Israel membuat keputusan melantik kedua-dua ke dalam pasukan menteri bagi melaksanakan  fasa kedua perjanjian gencatan senjata maknanya negara Zionis tersebut mahu memastikan segala muslihat mereka di sebalik pelan damai berkenaan dilaksanakan.

Pada hari Isnin, Majlis Keselamatan PBB meluluskan satu resolusi yang digubal oleh AS untuk memberi kuasa kepada sebuah pihak berkuasa peralihan yang dipimpin Trump bagi mentadbir Gaza secara sementara dan menempatkan pasukan antarabangsa yang ditugaskan untuk menghentikan sebarang bentuk gerakan ketenteraan di wilayah bergolak itu serta membangunkannya semula.

Resolusi itu ditolak oleh ramai rakyat Palestin dan pakar undang-undang kerana memperkenalkan bentuk “penjagaan amanah” asing baharu ke atas Gaza, yang menurut ramai pengkritik merupakan bentuk kolonialisme moden.

 Kini ‘penjajahan itu akan dilakukan secara halal’ melalui kelulusan Majlis Keselamatan apabila  Ben-Gvir dan Smotrich yang diketahui umum menyokong “pembersihan etnik di Gaza” berada dalam pasukan menteri tersebut.

Awal tahun ini, Belanda mengisytiharkan kedua-dua menteri itu sebagai persona non grata di 29 negara Eropah kerana pendirian anti-Palestin mereka.

 Smotrich berkata bahawa kemenangan perang bermakna Gaza mesti “dimusnahkan sepenuhnya”.

Beliau menyeru pelaksanaan mengilhak (merampas) Gaza secara berperingkat — contohnya, mengilhak satu kawasan setiap minggu selama beberapa minggu, mengusir rakyat Palestin ke selatan, serta mengenakan sekatan ke atas bahagian utara dan tengah.

Smotrich mendakwa bahawa Gaza adalah sebahagian tidak terpisahkan daripada Israel, dan mahu menubuhkan semula penempatan Israel di sana dalam skala yang jauh lebih besar daripada penempatan lama Gush Katif. Beliau juga berkata bahawa Israel harus membincangkan pembukaan semula penempatan selepas perang dan menggalakkan “pemindahan sukarela” rakyat Palestin — iaitu pengusiran paksa dari Gaza.

Beliau berulang kali menyatakan bahawa bantuan mesti disekat dan tiada sebutir gandum pun dibenarkan masuk ke Gaza, sambil menyebut bahawa kebuluran boleh digunakan sebagai taktik “tekanan”.

Ben-Gvir pula berkata, “Tiada perjanjian, tiada gencatan senjata, tiada bantuan, hanya pertempuran berterusan.”

Beliau menegaskan bahawa tiada bantuan kemanusiaan harus dibenarkan masuk ke Gaza dan “tiada sebab walaupun satu gram makanan atau bantuan memasuki Gaza”.

Beliau menyokong pendudukan penuh ke atas Gaza, menggalakkan pengusiran paksa rakyat Palestin, dan menentang sebarang perjanjian gencatan senjata separa.

Ben-Gvir berkata beliau akan “sangat gembira untuk tinggal di Gaza” selepas serangan, dan menambah bahawa beliau menjangkakan pemerintahan tentera penuh di mana Israel mengawal sepenuhnya wilayah itu. Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengembalikan penempatan Israel di Gaza, termasuk yang dikosongkan pada 2005.

Ben-Gvir dan Smotrich berulang kali mengugut untuk keluar daripada kerajaan jika gencatan senjata Gaza ditandatangani.

Walaupun gencatan senjata ditandatangani pada Oktober, Israel terus melanggar perjanjian itu melalui pembunuhan, perobohan, pencerobohan tanah dan sekatan keras terhadap bantuan — yang sepatutnya dibenarkan masuk ke Gaza yang dikepung.

Pejabat Media Kerajaan di Gaza berkata tentera Israel telah melakukan 393 pelanggaran yang didokumenkan setakat Selasa lalu. Pegawai berkata pelanggaran ini membunuh 279 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam. Mangsa termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Sudah pasti dengan pelantikan kedua-dua menteri anti-Palestin itu, pelan damai dan gencatan senjata fasa kedua hanya akan mengizinkan penjajahan Israel ‘secara sah’ ke atas bumi Gaza.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img