DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada semua agensi berkaitan mengemukakan laporan pelaksanaan setiap inisiatif bagi pekerja yang diumumkannya hari ini.
Perdana Menteri berkata, laporan itu perlu diserahkan kepada menteri terbabit sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa tiga minggu lagi.
“Saya tidak mahu amalan lampau di mana pengumuman dibuat, tindakan mengambil masa enam bulan sehingga setahun atau lebih. Pengumuman dibuat hari ini, dalam tempoh dua minggu laporan sampai ke meja menteri dan laporan tindakan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam tempoh tiga minggu.
“Jika tidak, baik Perkeso, HRD Corp, TalentCorp dan lain-lain agensi dipanggil naik ke pentas untuk jawab soalan, bersama Menterinya Ramanan (Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan),” katanya ketika menyampaikan amanat Sambutan Hari Pekerja 2026 peringkat kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.
Terdahulu, Anwar mengumumkan tiga inisiatif utama, iaitu pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin bagi wanita yang menyediakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari (sebulan) yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari.
Turut diumumkan Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta sebagai langkah memperkukuh pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh negara.
Ia merangkumi dana RM580 juta oleh Perkeso bagi membantu pekerja kehilangan pekerjaan menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan peruntukan RM100 juta di bawah HRD Yakin Madani untuk latihan dan penempatan kerja.
Selain itu, RM20 juta disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) bagi latihan pekerja gig serta RM10 juta menerusi TalentCorp bagi Geran Padanan Latihan Industri untuk menyokong PMKS dan syarikat pemula.
Inisiatif ketiga adalah pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi memperluas perlindungan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada rakyat Malaysia bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.


