TIGA sayap UMNO Negeri Sembilan menzahirkan kekesalan berhubung arahan pengosongan Balai Undang Luak Sungei Ujong di Ampangan di Seremban, yang didakwa dilakukan secara tergesa-gesa.
Kenyataan itu dibuat susulan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dilapor mengeluarkan surat arahan pengosongan serta-merta bagi kediaman rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong, semalam.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, ketiga-tiga sayap iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO negeri sebulat suara menyatakan solidariti dan memandang serius arahan penempatan semula semua kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong yang berkuat kuasa pada 28 April lalu.
“Arahan itu turut membabitkan pengosongan premis Balai Undang Luak Sungei Ujong pada 29 April. Jelas bahawa arahan terbabit dikeluarkan ketika Balai Undang Luak Sungei Ujong sedang menguruskan pertikaian yang belum selesai membabitkan YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.
“Maka tindakan kerajaan negeri ini adalah tidak wajar, tidak sensitif dan boleh dilihat sebagai penggunaan kuasa pentadbiran untuk mendahului proses adat.
“Arahan kerajaan negeri untuk mengosongkan kediaman rasmi terbabit yang dikeluarkan pada 30 April dianggap memuncak dan menjejaskan keharmonian adat,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, Institusi Undang Luak bukan sekadar jawatan pentadbiran biasa tetapi sebahagian daripada struktur adat Negeri Sembilan yang mempunyai kedudukan tersendiri dan tinggi dalam sejarah, budaya dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, yang harus dihormati.
Oleh itu tegasnya, sebarang tindakan membabitkan kediaman rasmi, balai, kakitangan atau kemudahan berkaitan institusi terbabit perlu dibuat dengan penuh tertib, santun dan kebijaksanaan.
“Justeru, kami dari Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh Negeri Sembilan berpandangan tindakan tergesa-gesa seperti ini hanya mengesahkan kebimbangan mengenai krisis ini gagal diurus dengan bijaksana oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Ia juga menguatkan alasan mengapa keyakinan terhadap kepemimpinan Menteri Besar hilang sejak tecetusnya krisis ini.
“Isu ini bukan soal politik kepartian, ia secara terang-terangan mengenai kegagalan seorang Menteri Besar dalam mengurus krisis melalui tertib adat, menjaga maruah dan persepsi rakyat terhadap institusi di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, Balai Undang Sungai Ujong menerima surat bertarikh 29 April dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan ditujukan kepada Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak.
Melalui surat ditandatangani Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin itu mengarahkan pengosongan premis dilakukan serta-merta.
Surat itu menyebut keputusan itu dibuat selaras dengan keputusan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tarikh 17 April lalu.
Bagaimanapun, lewat petang semalam, Balai Undang Sungei Ujong membalas surat berkenaan dengan menyatakan penangguhan pematuhan arahan pengosongan Balai Undang Sungei Ujong yang dihantar kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
Surat yang disediakan Setiausaha Sulit Kepada Undang Luak Sungei Ujong, Ahmad Hanafi Ruzlan itu menamakan Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Akmal Farid Rizal Noordin sebagai penerima.
Antara kandungan itu ialah pihak balai memaklumkan menangguhkan pematuhan arahan pengosongan Kompaun Kediaman Rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong pada masa ini atas alasan pengurusan krisis segera membabitkan Undang Luak Sungei Ujong.


