TIGA maut manakala seorang kanak-kanak berusia lapan tahun cedera dalam kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan treler di Kilometer 33, Jalan Lahad Datu-Tawau, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.05 petang membabitkan sebuah MPV jenis Toyota Innova dengan sebuah treler.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Toyota Innova yang dipandu seorang lelaki dari arah bandar Lahad Datu menghala ke Tawau cuba memotong beberapa kenderaan di hadapannya, namun gagal kembali ke laluan asal sebelum bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat pertembungan itu, pemandu MPV berusia 40 tahun dan dua penumpang berusia 39 dan 43 tahun dalam kenderaan itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala kanak-kanak lelaki yang cedera parah dihantar ke Hospital Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Dzulbaharin berkata, pemandu treler berusia 56 tahun cuma mengalami kecederaan ringan.
Kes ini kata beliau, disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Jafri Juat di talian 089-881255 atau mana-mana balai polis berhampiran.


