SEORANG lagi bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Amirul Azwan Mohd Ghazali, 37, menghembuskan nafas terakhirnya hari ini, dipercayai akibat serangan jantung.
Berita sedih itu disahkan rakan seperjuangan, Dr Syamsul Hirdy Muhid atau lebih dikenali sebagai Diddy Hirdy.
Menurut Diddy, beliau menerima perkhabaran mengenai pemergian Amirul daripada sepupu kepada isteri Allahyarham, pagi tadi.
“Kami sudah lama tidak berhubung. Bagaimanapun, saya dimaklumkan mengenai pemergian arwah oleh salah seorang kakitangan saya yang juga sepupu kepada isterinya.
“Allahyarham kini berada di sebuah hospital di Kuching, Sarawak. Saya difahamkan arwah tidak mempunyai sejarah penyakit, jadi proses bedah siasat dijalankan jam 2 petang,” katanya kepada Berita Harian.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri. Pasangan itu difahamkan mendirikan rumah tangga pada 2023 dan isterinya kini sedang hamil di trimester ketiga.
Pada 18 Oktober lalu, penyanyi yang juga naib juara AF4, Lotter meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah selepas bertarung penyakit tiroid.
Mendiang Lotter atau nama sebenar, Lotter P Edwin Edin dikhabarkan bertarung penyakit itu sejak kebelakangan ini. Pemergiannya sangat mengejutkan rakan artis terutama penggiat seni tempatan.



