ABIM tuntut dasar konsisten, sokong larangan Waze dan perolehan beretika

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong langkah berwaspada kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam bagi melindungi maklumat rasmi dan keselamatan strategik negara.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pengumpulan data lokasi serta corak perjalanan melibatkan pegawai dan premis kerajaan berpotensi mendedahkan maklumat sensitif sekiranya tidak dikawal dengan ketat.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa isu keselamatan digital dan solidariti terhadap Palestin perlu menterjemahkan dasar yang konsisten melalui perlindungan data berasaskan penilaian risiko serta tindakan tegas terhadap syarikat yang terlibat dalam penindasan.

“Pertama, pastikan panduan pelaksanaan jelas dan seragam. Soalan Lazim yang disediakan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu disebarluaskan serta diterangkan oleh setiap kementerian dan jabatan.

“Penjelasan hendaklah meliputi skop larangan, penggunaan peranti rasmi dan peribadi serta panduan bagi pegawai yang bertugas di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, asas pertimbangan keselamatan wajar diterangkan kepada masyarakat tanpa mendedahkan maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan negara, di samping memperluas penilaian risiko secara berfasa kepada perkhidmatan teknologi lain.

Dalam pada itu, ABIM menggesa kerajaan memastikan aplikasi navigasi alternatif yang disyorkan adalah selamat, berkualiti, serta mempunyai ketepatan pemetaan bagi mengekalkan kecekapan perkhidmatan awam.

Ahmad Fahmi turut menekankan bahawa pembinaan teknologi tempatan perlu dipacu menerusi kawalan keselamatan data yang ketat tanpa mengira penyedia perkhidmatan tersebut berasal dari dalam atau luar negara.

Mengenai aspek solidariti Palestin, ABIM mendesak kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) memanfaatkan pengaruh ekonomi dengan memutuskan hubungan perniagaan yang menyumbang kepada genosid atau pendudukan haram Israel.

“Selaras dengan pendekatan kempen Boikot, Pelupusan dan Sekatan (BDS) yang bersasar, ABIM menggesa penilaian terhadap pembekal, syarikat penerima pelaburan dan rakan niaga merentas sektor.

“Terhadap syarikat yang terbukti terlibat, tindakan perlu merangkumi penghentian urusan baharu, pelupusan pelaburan dan penamatan hubungan perniagaan secara terancang, dengan sasaran serta tempoh pelaksanaan yang jelas,” tegas beliau.

Beliau menyimpulkan bahawa kedaulatan digital dan solidariti Palestin menuntut keberanian serta ketelusan agar setiap keputusan ekonomi dan teknologi negara sentiasa berteraskan tindakan yang dapat dipertanggungjawabkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here