MALAYSIA mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) merentas kementerian dengan Indonesia untuk mempercepat kerjasama dua hala dalam industri dan ekonomi kreatif.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata jawatankuasa itu akan memudahkan perbincangan mengenai inisiatif kerjasama termasuk yang boleh dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan kementerian berkaitan di Indonesia.
Beliau berkata mekanisme itu juga akan membantu menyelaraskan kerjasama merentas portfolio kementerian yang berbeza memandangkan sektor yang diselia oleh Kementerian Komunikasi Malaysia terletak di bawah beberapa kementerian di Indonesia, termasuk pihak yang bertanggungjawab bagi budaya, komunikasi dan ekonomi kreatif.
“Niatnya adalah untuk mempercepat perbincangan yang semestinya akan terkandung dalam memoranda persefahaman (yang akan diperhalusi) dan kita lihat ada beberapa perkara seperti saya sebutkan tadi, ada dalam bidang kuasa kementerian komunikasi, dan ada di bawah bidang kuasa beberapa kementerian lain, sebab bukan semua portfolionya sama,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada Bernama selepas mesyuarat dua hala dengan Menteri Ekonomi Kreatif Indonesia Teuku Riefky Harsya di sini pada Rabu, dan kedua-dua menteri turut menyaksikan majlis pemeteraian dua MoU antara MyCreative Ventures dari Malaysia dengan dua entiti dari Indonesia, iaitu Jawatankuasa Ekonomi Kreatif Jakarta dan EnMasse.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures Zainol Haqim Zainol Rashid, Ahli Lembaga Penasihat Jawatankuasa Ekonomi Kreatif Jakarta Joshua Simandjuntak dan pengasas bersama EnMasse Andi Surya Wirawan Sadha.
Fahmi berkata perjanjian itu dijangka mampu memudah cara kerjasama lebih erat dan pertukaran aktiviti industri kreatif antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang muzik serta sektor berkaitan.
Menyentuh mengenai pertemuannya dengan Teuku Riefky, Fahmi berkata beliau telah diberikan taklimat mengenai peranan dan tanggungjawab Kementerian Ekonomi Kreatif Indonesia, yang baharu ditubuhkan di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, selain membincangkan potensi bidang kerjasama antara kedua-dua negara.
“Kita nampak ada banyak persamaan dan keserasian dengan Majlis Ekonomi Jingga yang telah kita bentuk dan yang menarik adalah cara mereka melihat sektor dan subsektor dalam bidang ekonomi kreatif.
“Ini sudah pasti akan membantu kita melihat, menilai aspek-aspek dasar dan pelaksanaan program bagi ekonomi kreatif,” katanya.
Terdahulu, Fahmi yang dalam rangka lawatan kerja ke Jakarta hingga Khamis, mengadakan pertemuan dua hala berasingan dengan Menteri Kebudayaan Indonesia Fadli Zon disusuli perbincangan bersama dengan Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Meutya Hafid pada Selasa.
Fahmi berkata perbincangan beliau dengan Fadli menyentuh mengenai kerjasama dua hala yang lebih erat khususnya dalam industri perfileman.
“Kita bincangkan bagaimana kita boleh rapatkan hubungan kerjasama lebih erat termasuk melalui MoU dalam bidang terutama filem kerana ini satu sektor yang kita nampak berpotensi untuk kita tingkatkan kerjasama, termasuk kerjasama membangunkan satu festival filem Nusantara,” katanya.
Beliau berkata Fadli turut mencadangkan kerjasama lebih erat dengan Malaysia untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bagi warisan budaya Melayu termasuk tulisan Jawi.
“Mungkin ini bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi tetapi kita akan sampaikan kepada kementerian berkaitan termasuk MOTAC (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan) mengenai hasrat Kementerian Kebudayaan Indonesia menamakan warisan Melayu seperti tulisan Jawi di peringkat antarabangsa,” katanya.
Fahmi berkata cadangan itu boleh mengambil contoh kebaya, yang telah dimasukkan di bawah Senarai Perwakilan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Disember 2024 hasil pencalonan bersama Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand.





