
KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa harga rumah mahal di Johor berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menyediakan kediaman mampu milik.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Dr Muhamad Akmal menarik perhatian dengan mengemukakan fakta purata harga rumah di Malaysia yang mana pasaran tertinggi sebenarnya direkodkan di Kuala Lumpur dan Selangor.
Beliau menjelaskan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditadbir di bawah menteri lantikan Perdana Menteri, manakala Selangor diterajui oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan sendiri oleh Anwar.
“Maka saya sertakan fakta yang YAB boleh ‘google‘ sahaja yang menyatakan bahawa dalam Malaysia purata rumah yang mahal adalah di kawasan Kuala Lumpur dan diikuti dengan Selangor.
“Adakah ini membawa maksud bahawa YAB juga gagal mentadbir kerajaan dengan baik?
“Kalau dibandingkan dengan fakta itu, harga rumah di Kuala Lumpur dan Selangor jauh lebih mahal berbanding Johor, maka adakah kegagalan YAB PMX juga jauh lebih hebat dari kegagalan kerajaan Johor? Mohon pencerahan,” tulisnya.
Media hari ini melaporkan kenyataan Anwar selaku Pengerusi PH yang mendakwa Johor yang ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) masih mengetepikan hal-hal kebajikan berkaitan kepentingan rakyat termasuk kegagalan menyediakan rumah mampu milik.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan Perdana Menteri ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung.






