
PUCUK pimpinan Barisan Nasional (BN) menghargai pendirian Pas yang mengarahkan ahlinya mengundi calon parti komponen itu di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu beliau berharap sokongan tersebut benar-benar diterjemahkan menerusi undi pada hari pengundian nanti.
Menurut beliau, sokongan yang diberikan itu tidak akan menjejaskan hubungan kerjasama yang terjalin antara UMNO dan Pas.
“Itu merupakan sokongan daripada kepimpinan Pas. Kita menghargai sokongan tersebut dan tidak merasakan bahawa ia akan mempengaruhi kerjasama yang telah atau bakal dijalinkan oleh UMNO, khususnya dengan Pas.
“Kita menghormati pendirian mereka dan berharap sokongan itu benar-benar diterjemahkan menerusi kertas undi yang akan dibuka pada 11 Julai nanti,” katanya pada program ramah mesra bersama pengundi Cina di Medan Selera Tangkak Jaya di Tangkak hari ini.
Program itu diadakan bagi memberi sokongan kepada calon MCA-BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Datuk Haw Chin Teck dan turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Media sebelum ini melaporkan, Pas mengesahkan arahan kepada ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon BN pada PRN Johor, termasuk calon bukan Melayu daripada MCA dan MIC yang bertanding di kerusi yang tidak ditandingi PN.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak memenangi kerusi berkenaan sehingga membuka laluan kepada DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Johor.
Menurut Tuan Ibrahim, arahan itu merupakan pendirian rasmi parti bagi menghadapi pertandingan di kerusi yang tidak ditandingi PN, selain bertujuan mengelakkan perpecahan undi yang boleh memberi kelebihan kepada PH.






