PEMANGKU Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim menggesa Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menarik balik kenyataannya dan memohon maaf berhubung isu arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat di Kuala Terengganu.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Adam Adli menyuarakan ketidaksetujuannya terhadap kenyataan Khoo, selain menasihatkan beliau supaya menghormati kedaulatan undang-undang negeri serta sensitiviti agama di negara ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, permohonan maaf itu penting bagi memelihara prinsip saling menghormati yang menjadi asas keharmonian masyarakat majmuk.
Menurutnya, pelaksanaan arahan di bawah pentadbiran kerajaan Terengganu itu merupakan urusan pentadbiran yang mempunyai asas perundangan menerusi enakmen negeri, selaras dengan bidang kuasa diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun wujud perbezaan pendapat dalam menafsirkan asas penubuhan sesuatu undang-undang, peraturan itu terhasil daripada prinsip persetujuan majoriti dan mandat rakyat Terengganu kepada badan legislatif serta eksekutif negeri untuk menggubalnya.
“Maka kita wajib hormati mandat terbabit seperti mana kita mahu orang hormati mandat yang diberi kepada kita,” katanya.
Dari sudut agama, Adam Adli berkata lelaki Muslim yang wajib menunaikan solat Jumaat dituntut meninggalkan urusan jual beli apabila tiba waktunya, berdasarkan nas jelas menerusi Surah al-Jumu’ah, ayat 9.
Justeru, beliau menegaskan perkara itu bukan sekadar amalan budaya atau adat, sebaliknya tuntutan agama yang berkait secara langsung dengan pelaksanaan ibadah.
“Dalam masyarakat majoriti Muslim, pelaksanaan dasar yang bertujuan memelihara kewajipan ini juga adalah amalan yang diterima baik dan wajar difahami dalam konteks kehidupan beragama masyarakat setempat.
“Sebarang perbahasan mengenai perbezaan pandangan terhadap sesuatu dasar mestilah berasaskan kefahaman terhadap undang-undang, tuntutan agama dan sensitiviti masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Khoo membangkitkan kebimbangan terhadap arahan penutupan premis perniagaan antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat.
Beliau mendakwa pelaksanaan peraturan secara menyeluruh boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.
Khoo turut mengaitkan arahan berkenaan dengan pendekatan dasar agama konservatif dalam pentadbiran awam serta kepemimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman turut menyelar tindakan Khoo yang mempersoalkan arahan berkenaan.





