ADUN Guar Chempedak, anak cedera ringan dalam kemalangan

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad dan anak lelakinya mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Ulu Sedaka, Yan, semalam.

Dalam kejadian itu, SUV berkenaan dilaporkan terbalik selepas bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sedaka.

Kedua-dua mereka dan pemandu Perodua Myvi dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Aikap Dunding berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi.

Katanya,  anggota polis MPV yang dihantar ke lokasi kejadian memaklumkan pemandu Proton X50 itu ialah anak lelaki ADUN Guar Chempedak yang berusia 32 tahun, manakala Abdul Ghafar adalah penumpang kenderaan tersebut, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, kejadian itu  turut dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook oleh kumpulan Kaki Jalan 66’s yang berada di daerah itu bagi menyertai program Explore Ride Yan Kedah.

Kumpulan berkenaan memaklumkan bahawa Abdul Ghafar sepatutnya menyertai mereka untuk bersarapan di sebuah gerai roti canai sebelum kejadian berlaku.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here